Pages

Sunday, October 26, 2014

Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 3)

Teks : Nik Nurul Hana Hanafi


Hari ini genaplah kandungan saya berusia 37 minggu. Masih berbaki 3 minggu lagi jika mengikut perangkaan doktor. Alhamdulillah. Debaran makin terasa. Waktu malam pula asyik terjaga dan terus tidak dapat lelapkan mata berjam-jam lamanya. Waktu siang pula mudah terasa penat, langkah semakin berat, namun hati perlu berasa hebat, perlu memotivasikan diri sendiri supaya tidak manja sangat. 


Baiklah, seperti dijanjikan kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca sekalian tentang Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 3) iaitu kategori Feeding Equipment atau peralatan yang perlu ada untuk menjayakan penyusuan. Memandangkan saya memilih dan berazam untuk menyusukan bayi saya nanti, di sini saya akan huraikan lebih tentang penyusuan ibu. Saya juga masih baru dalam penyusuan ibu, masih banyak ilmu yang perlu dicari. 

Bagi yang ingin melihat ingin melihat Senarai  Dan Tips Keperluan Barangan Bayi yang lepas, boleh klik di link berikut :
Kategori kali ini boleh dibahagikan kepada dua. Ibu-ibu boleh memilih untuk menyusukan bayi dengan susu ibu atau pun dengan susu formula, mengikut keselesaan dan kemampuan sendiri. Namun kebaikan susu ibu tidak dapat dinafikan lagi, susu ibu merupakan makanan terbaik buat bayi, terutamanya yang baru lahir. Di dalam al-Quran juga telah disebutkan tentang hal ini, susu ibu 'diangkat' sedemikian rupa sehingga disebut di dalam al-Quran. Siapa kita untuk menafikan kepentingannya, bukan?. 

Saya yakin, kini telah ramai yang sedar akan hal ini dan ingin menyusukan anak mereka dengan susu ibu. Namun ada juga ibu yang tidak dapat menyusukan bayi dek banyak halangan dan kekangan baik dari segi fizikal, mental mahupun sokongan. Bukanlah bidang saya untuk menghuraikan semua itu. Saya juga begitu, ketika anak pertama dahulu terlalu banyak kesilapan dan kekurangan. Kesilapan dahulu saya jadikan teladan dan panduan untuk memperbaiki diri dan mecari sebanyak mungkin ilmu tentang penyusuan ibu supaya dapat dijayakan untuk anak kedua ini, insya Allah moga Dia izinkan.

Di bawah ini, saya akan senaraikan juga peralatan yang perlu untuk persediaan susu formula serta penyusuan susu ibu.

Feeding Equipment

1) Penyusuan susu formula
  • Susu formula
  • Termos
  • Botol susu & puting yang sesuai dengan umur bayi
  • Bekas susu (milk dispenser) - untuk mengisi susu ketika keluar rumah
  • Beg untuk mengisi peralatan di atas - persediaan ketika keluar rumah
  • Pencuci khas untuk botol susu
  • Berus botol susu
  • Drying rack @ bekas untuk menyimpan botol yang telah dicuci
  • Sterilizer - untuk mensteril botol dan puting susu

2) Penyusuan susu ibu
  • Breast pump (item wajib bagi ibu bekerja. Bagi suri pula, bergantung kepada keperluan)
  • Breast pad (terdapat pilihan washable dan disposable)
  • Breast cream (bagi merawat Miss N yang melecet)
  • Nursing pillow
  • Nursing bra (memudahkan penyusuan dan mengepam di pejabat)
  • Milk storage (pilihan di pasaran adalah plastic storage dan bottle storage)
  • Botol susu & puting (untuk mengisi susu perahan ke rumah pengasuh atau taska)
  • Bottle warmer (memanaskan susu ibu dari peti ais)
  • Pencuci khas untuk botol susu
  • Berus botol susu
  • Drying rack @ bekas untuk menyimpan botol yang telah dicuci
  • Sterilizer - untuk mensteril botol dan puting susu

Seperti biasa, barangan di atas merupakan panduan kepada ibu bagi mendapatkan sedikit gambaran tentang keperluan barangan yang perlu disediakan. Pemilihan jenis dan keperluan juga bergantung kepada individu. Insya Allah di entri akan datang saya akan huraikan serba sedikit tentang tips dan perkongsian tentang item no.2 di atas iaitu Penyusuan Susu Ibu.

Friday, October 24, 2014

Salam Maal Hijrah 1436H

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Saya memetik secara ringkas kata-kata Ustaz Zul dalam program sempena ulangtahun ke-4 TV Alhijrah, yang sedikit sebanyak berbunyi begini : 

Apabila datang di dalam hati seseorang satu rasa untuk berubah, rasa itu sebenarnya tidak akan kekal. Rasa itu Allah akan tarik sedikit demi sedikit. Kerana Allah mahu uji dan lihat sejauh mana langkah kita menuju ke jalan-Nya, sekuat mana usaha kita bagi mengekalkan atau meningkatkan 'rasa' yang telah Dia kurniakan. Sesungguhnya hidayah itu milik-Nya, siapalah kita ingin mengadili atau meramalkan siapa yang akan berubah dan sebaliknya. Kadangkala orang yang paling tidak disangka, paling 'tiada harapan', sebenarnya golongan inilah yang berhijrah dengan sangat indah, berubah dengan istiqamah. 

Oleh itu, menjelangnya tahun baru 1436H ini suka saya mengajak rakan-rakan pembaca blog ini untuk membacakan doa akhir tahun dan awal tahun di samping berazam untuk menjadi hamba-Nya yang sentiasa memperbaiki diri menjadi insan yang lebih dekat dengan-nya serta menjadi lebih istiqamah dalam usaha tersebut. Kerana kita tahu, azam tanpa istiqamah akan menemui jalan yang kabur dan selalunya menjadi lebur.


Doa akhir tahun

   

Doa awal tahun

(Foto sumber dari Google) 

Doa akhir tahun dibaca 3 kali selepas solat Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada penghujung bulan Zulhijjah iaitu bersamaan 24 Oktober 2014. Masuk sahaja waktu Maghrib, maka masuklah tahun baru Hijriah dan doa awal tahun pula dibaca sebanyak 3 kali juga.

Salam Maal Hijrah buat pembaca sekalian. Semoga setiap doa dimakbulkan, semoga dikurniakan nikmat dan rezeki yang dipohonkan. Amin ya Rabbal Alamin.

Wednesday, October 22, 2014

Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 2)

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Entri ini adalah sambungan dari entri yang sebelum ini iaitu Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 1) di mana kali ini saya akan berkongsi dan mengupas tentang peralatan penjagaan bayi (baby care/ baby changing).

Peralatan penjagaan bayi (baby care/ baby changing) :

1) Untuk mandian :
  • 2-3 helai tuala mandi yang lembut
  • Baby wash & baby shampoo (organik lebih baik jika mampu)
  • Tub mandi (bersama gayung jika perlu)
2) Selepas mandi :
  • Changing mat
  • Lampin - pilihan lampin pakai buang @ cloth diaper @ kain lampin
  • Nappy liner (untuk alas di dalam lampin - optional)
  • Minyak telon (disapu pada perut, peha dan kaki bayi.Saya gunakan Krim Herba jenama Tropika)
  • Nappy cream 
  • Bedak bayi (saya tak beli)
  • Losyen bayi (saya tak beli)
  • Minyak bayi (saya tak beli)
  • Sikat @ berus rambut bayi
3) Peralatan lain :
  • Detergen khas untuk pakaian bayi (kali ini saya gunakan Kiddie Wash dari Cosway)
  • Putik kapas kecil @ cotton buds
  • Baby wipes (saya gantikan dengan cotton balls)
  • Pengetip kuku khas untuk bayi
  • Bib @ sapu tangan @ tuala kecil 
  • Botol semburan air (untuk mencuci najis bayi)

Tips dan perkongsian :

1)   Majoriti ibu memilih menggunakan lampin pakai buang termasuklah saya (berangan juga ingin menggunakan cloth diaper. Insya Allah akan diusahakan nanti). Saiz newborn untuk lampin pakai buang tidak perlu dibeli banyak, cukuplah satu pek sederhana. Ini kerana bayi cepat membesar, sekejap sahaja sudah perlu bertukar ke saiz S. Jika memilih untuk menggunakan cloth diaper atau kain lampin, saiz tidak perlu dirisaukan.

2)   Bedak, losyen dan minyak bayi tidak saya sediakan kerana tidak merasakan peralatan ini perlu. Kulit bayi sangat halus dan sudah sedia lembap, jadi saya fikir tidak perlulah meletakkan bahan kimia pada kulit bayi jika tidak perlu. Walaubagaimanapun terpulang pada ibu-ibu. Ada juga bayi yang mempunyai masalah kulit dan memerlukan peralatan yang saya sebutkan tadi.

3)   Seeloknya nappy cream atau krim untuk ruam lampin dibeli dalam saiz yang kecil sahaja kerana ada krim yang tidak sesuai dengan kulit bayi. Jika mampu, dapatkan krim yang organik. Saya hanya memakaikan krim jika terdapat kesan seperti ruam pada kulit bayi, jika tiada masalah saya tidak gunakannya. Pastikan juga lampin bayi diperiksa dan ditukar selalu kerana bayi baru lahir kerap membuang air. Lampin yang kering dapat mengurangkan risiko ruam lampin.

4)   Sejak dari anak pertama lagi saya memilih menggunakan cotton balls berbanding baby wipes adalah bagi mengurangkan pendedahan bahan kimia pada bayi. Menggunakan baby wipes untuk mencuci najis bayi memanglah lebih mudah dan cepat, tetapi saya lebih suka menggunakan botol semburan air bersama cotton balls kerana ia lebih selamat dan natural serta dapat mengelakkan terjadinya alergik @ ruam pada kulit bayi yang sensitif. 

Saya telah sediakan kapas gulung yang dibulatkan bagi membuat cotton balls. Cara ini memakan masa tetapi lebih jimat jika membeli sepaket cotton balls yang telah siap dijual. Bilakah saya membuatnya? Saya curi-curi masa membuatnya antara dua waktu solat (di atas sejadah) dan ketika saya terjaga di tengah malam dan tidak dapat melelapkan mata. Sambil-sambil itu dapatlah berbual dengan si kecil di dalam perut. Hehe





Rasanya itu sahajalah perkongsian saya tentang kategori ini. Senarai di atas adalah perkongsian dan sahaja kerana keperluan antara ibu - ibu dan bayi adalah tidak sama. Apa yang penting adalah keselesaan ibu dan bayi itu sendiri. Semoga dapat dimanfaatkan.  

Friday, October 17, 2014

Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 1)

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Seronoknya membuat persediaan barangan bayi. Melihat barangan kecil yang comel-comel di majalah atau pasaraya membuatkan saya begitu teruja, terasa seperti mahu beli bermacam barangan. Bila lihat selimut comel, terasa mahu beli selimut. Bila lihat permainan berwarna-warni, terasa mahu beli juga. Bahkan bila lihat stokin kecil pun terasa mahu beli dek terpengaruh dengan kemahuan hati. Jika 'rasa' ini tidak dikawal, pastilah berlaku pembelian yang tidak diperlukan lalu berlakulah pembaziran. 

Waktu inilah checklist atau senarai semak diperlukan. Peranan senarai ini sangat penting sebagai panduan bagi mengelakkan pembelian yang tidak perlu, dan bagi mengelakkan barangan penting tidak disediakan pula.


Semasa anak pertama dahulu, senarai barangan bayi sudah saya siapkan ketika trimester pertama lagi. Pertama kali hamillah katakan, rasa teruja sangat-sangat. Senarai tersebut saya sediakan berdasarkan research dari blog, bertanya pada rakan-rakan dan orang yang lebih berpengalaman. Saya kumpulkan dahulu semua maklumat yang saya terima, kemudian barulah saya mengubah dan mengolah senarai ini mengikut kesesuaian cara hidup dan keperluan kami. 


Saya membuat senarai mengikut kategori seperti berikut: 

  1. pakaian bayi,
  2. peralatan penjagaan bayi (baby care/ baby changing)
  3. feeding equipment
  4. peralatan untuk tidur
  5. keperluan berpantang ibu 
  6. keperluan di hospital. 
Saya juga turut membuat senarai menu berpantang bagi memudahkan ibu atau pembantu rumah untuk menyiapkan makanan. Selain itu, perancangan menu juga bertujuan bagi mempelbagaikan menu supaya tidak bosan dengan menu yang sama dan bagi mendapat pelbagai nutrisi yang diperlukan ketika berpantang nanti.

Dalam entri ini saya akan menyenaraikan kategori pertama dari senarai di atas iaitu keperluan pakaian bayi.


Keperluan pakaian bayi


  • 5-6 pasang baju lengan panjang
  • 5-6 pasang baju lengan pendek
  • 5-6 helai barut
  • Kain bedung/swaddle blanket (boleh juga guna kain lampin bayi kerana kainnya lebih lembut)
  • 2-3 helai Topi / 'baby bonnet' (saya sempat menjahit sehelai topi bayi yang tutorialnya akan saya kongsikan nanti)
  • 5-6 pasang sarung tangan (mittens)
  • 5-6 pasang sarung kaki (booties) atau stokin


Tips

1.  Elakkan membeli baju bersaiz kecil terutama yang berlabel 'newborn petite'. Bayi cepat membesar, seeloknya pilihlah saiz 0-3 bulan atau 0-6 bulan. Semasa anak pertama dulu saya terbeli sehelai jumpsuit newborn. Akibatnya baju tersebut hanya sempat dipakai kurang dari 5 kali kerana sudah tidak muat. 

2.   Jika ibu bersalin ketika musim atau cuaca panas, elok sediakan 1-2 pasang baju dari jenis yang berlubang kecil bagi keselesaan bayi. Jika bersalin pada musim hujan pula, eloklah sediakan pakaian lebih kerana khuatir baju tidak sempat kering. Bagi yang tinggal di Pantai Timur pasti sudah biasa dengan keadaan ini. Saya bersalin anak pertama pada bulan November iaitu ketika musim tengkujuh. Hujan turun tanpa henti kadangkala berlarutan sehingga 4 hari, langit pula kelabu sahaja.

3.  Topi adalah perlu ketika bayi dibawa pulang ke rumah dari hospital. Selain itu, jika kepala bayi dibotakkan semasa majlis cukur jambul, seeloknya bayi dipakaikan topi bagi mengelakkan kejutan kepada kepala bayi yang mungkin mengakibatkan selsema.

4.   Digalakkan juga ibu-ibu memilih baju bayi yang berbutang atau berzip di hadapan baju. Baju sebegini lebih mudah untuk dipakaikan pada bayi berbanding baju tidak berbutang yang perlu disarungkan melalui kepala. Cara pemakaian baju berbutang amat mudah dan menjimatkan masa, hanya perlu bukakan semua butang pada baju, bentangkan baju di atas tilam, letakkan bayi di atas baju dan kemudian sarungkan lengan baju serta butanglah seperti biasa. Mudah dan cepat, bukan?

5.   Di awal kelahiran, seeloknya pakaian bayi tidaklah sarat dengan aksesori seperti riben atau jenis kain yang berat seperti denim. Pilihlah pakaian yang lembut dan selesa namun berkualiti iaitu dari fabrik yang ringan, lembut dan tidak mudah berbulu.   

Senarai dan tips di atas telah saya olah dan ringkaskan mengikut keperluan sahaja. Tips yang dikongsikan adalah berdasarkan pengalaman sendiri serta perkongsian orang yang lebih berpengalaman. Memang tidak dinafikan pakaian bayi sangat comel dengan pelbagai pilihan corak yang membuatkan kita rambang mata jadinya. Walaupun begitu pilihan bergantung pada keperluan dan kemampuan ibu juga cuma dalam keterujaan menyambut orang baru, janganlah boros membeli sehingga berlaku pembaziran.

Insya Allah di entri yang lain saya akan berkongsi tentang kategori yang lain pula. 

Wednesday, October 15, 2014

Persediaan menyambut ahli baru

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi

Syukur masih diberi kesempatan untuk membuka mata melihat indahnya alam dan kehidupan yang Allah kurniakan. Kesempatan ini juga diguna untuk memohon keampunan atas kekhilafan sebagai hamba yang kerdil. Syukur dipanjatkan, keampunan didambakan. 

Pada minggu ini usia kandungan bakal menginjak ke minggu 36 bermakna hanya berbaki 4 minggu lagi untuk menyambut kelahiran ahli baru dalam keluarga. 4 minggu lagi adalah jangkaan manusia, rancangan-Nya jualah yang menentukan segalanya. 

Walaupun ini merupakan kandungan kedua, saya tetap berasa berdebar, takut, risau, runsing dan seangkatan dengannya. Cukupkah persediaan saya kali ini? Kuatkah saya?   Walaupun begitu, hati juga tidak sabar mahu bertemu si kecil. Gembira dalam kerisauan, bahagia dalam debaran. Saya rasa mana-mana ibu juga begitu,bukan?. Setiap hari saya berdoa agar dipermudahkan kelahiran ahli syurga kami nanti. Semoga Allah selamatkan semuanya.

Hari ini berpeluang mentelaah sekali lagi senarai barangan kelengkapan bayi yang telah saya sediakan sejak beberapa bulan lepas. Saya lebih selesa menulisnya di buku nota, lebih mudah untuk saya conteng dan kemaskini apa yang perlu. Alhamdulillah nampaknya kelengkapan sudah hampir cukup, cuma perlu dicuci dan diletakkan di tempat khas sahaja.

Saya akui senarai kelengkapan bayi ketika anak pertama dahulu lebih panjang dan lebih detail. Ruginya dulu tidak dicatatkan di blog, senarainya dan buku notanya pun sudah entah ke mana. Terpaksalah juga membuat research di blog-blog ibu yang lain. Senarai kali ini ringkas saja, kerana kebanyakan barangan digunapakai dari anak pertama sahaja. Kali ini saya tidak banyak berbelanja untuk barangan baru. Alhamdulillah sempat juga menjahit beberapa barangan yang diperlukan (tidak sabar mahu berkongsi tutorialnya). Cuma kali ini saya lebih banyak membeli kelengkapan untuk breastfeeding berbanding dahulu dan berazam ingin menyusukan anak sehingga umurnya 2 tahun, insya Allah. Semoga Allah izinkan dan makbulkan doa saya.



Inilah senarai di dalam buku nota saya. Senarai di atas ini saya asingkan mengikut kategori. Insya Allah di entri seterusnya saya kongsikan butiran dan pengalaman saya menyediakan kelengkapan anak kedua kami.

Friday, September 26, 2014

Zulhijjah tiba lagi

Hari ini sudah 26 September 2014 bersamaan 1 Zulhijjah 1435H. Lebih kurang 9 hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut ketibaan Eidul Adha iaitu pada 10 Zulhijjah 1435H. Ini bermakna lebih kurang 9 hari lagi jemaah haji para tetamu Allah akan menunaikan wukuf iaitu salah satu rukun haji yang mempunyai makna simboliknya sendiri. Wukuf bermaksud berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dan dalam sebarang keadaan. Yang afdalnya berwukuf sebahagian daripada siang hari 9 Zulhijjah dan sebahagian daripada malam10 Zulhijjah. Berakhirnya waktu wukuf pula adalah setelah terbit fajar subuh, pada 10 Zulhijjah. Pada 10 Zulhijjah juga umat Islam akan menunaikan ibadah korban. 

Bersempena bulan suci Zulhijjah ini banyaklah stesen televisyen dan radio mengalunkan alunan talbiah yang diucapkan jemaah haji tatkala mereka di Tanah Suci. Jika diamati alunan dan maksudnya, talbiah ini sangat menyentuh jiwa. Terasa diri begitu kerdil. Terasa diri bagai dipanggil. Di bawah ini saya kongsikan bait dan maksudnya.

Labbaik Allahumma Labbaik
Maksud: Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah.
Labbaika la syarika laka labbaik
Maksud: Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu.
Inna al hamda wa an ni’mata laka wa al mulka la syarika laka
Maksud: Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu.



Ya Allah jemputlah kami menjadi tetamu-Mu. Murahkanlah rezeki dan panjangkan umur kami agar kami sempat menjejakkan kaki di rumah-Mu ya Allah.

Monday, August 11, 2014

Rutin Pemeriksaan Antenatal

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi

Sepatutnya sudah lama saya berkongsi tentang pemeriksaan antenatal ini. Kandungan juga sudah menginjak ke trimester kedua. Harapnya perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada yang masih mencari hospital yang sesuai untuk pemeriksaan antenatal.

Setelah disahkan hamil melalui ujian di Klinik Kita Wangsa Maju, mulalah saya membuat research dan berbincang dengan suami tentang hospital atau klinik untuk pemeriksaan antenatal. Kriteria saya mudah saja. Saya mencari hospital yang lebih dekat dengan rumah, dan paling penting ialah pilihan doktor pakar mestilah seorang wanita. Setelah beberapa hari mengkaji dan bertanya di sana sini, kami membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan pertama di Hospital Al-Islam Kampung Baru. Alhamdulillah, jaraknya cuma lebih kurang 2km dr rumah. Bagi pilihan doktor pula, rata-rata mencadangkan Doktor Rosilawati, lalu saya terus membuat temujanji pertama dengan menelefon bahagian temujanji hospital. Alhamdulillah sekali lagi, saya dapat membuat pemeriksaan dengan Dr. Rosilawati.

Memang benarlah apa yang diberitahu kepada saya bahawa Dr. Rosilawati sangat peramah, lemah lembut, kelakar dan sentiasa tersenyum. Hati yang berdebar dan runsing pun menjadi tenang. Sementelah pula pada awal kehamilan saya mengalami sedikit pendarahan. Ketika itu hati sentiasa risau dan takut. Takut kehilangan sebenarnya. Namun nasihat, panduan dan assurance yang beliau berikan membuatkan saya lebih tenang dan bersemangat serta berserah kepada-Nya.

Syukur, pemeriksaan seterusnya menunjukkan perkembangan positif. Syukur ya Allah. Si abang pula sudah pandai melihat adiknya di skrin LCD ketika doktor membuat imbasan. Tidak henti dia berceloteh dan memberitahu 'itu kaki baby, itu mata baby'. Dr. Rosilawati pula melayankan sahaja celotehnya sambil bergurau dengan si abang. 

Terdapat beberapa perkara yang membuatkan saya berasa selesa dan tenang di hospital ini, antaranya :

- penyambut tetamu di pintu utama sentiasa tersenyum dan memberikan salam setiap kali pengunjung masuk atau keluar

- semua staf termasuklah 'cleaner' sentiasa senyum dan memberi salam.

- jururawat dan staf yang mesra.

- tempoh menunggu giliran tidak sampai 30 minit (dengan temujanji)

- jururawat membacakan doa dan menyebut nama Allah setiap kali ingin mengambil darah untuk pemeriksaan lanjut. (Saya jenis yang takut jarum. Ini kali pertama saya tidak merasa sakit ketika darah diambil)

- tidak perlu nombor giliran untuk mengambil ubat di farmasi. Kad khas akan diberikan selepas membuat bayaran dan terus mengambil ubat di kaunter. (Saya tidak pasti kelebihan ini adalah untuk semua pesakit atau untuk ibu hamil sahaja). Di sesetengah hospital swasta, jika mahu memgambil ubat kita perlu ambil nombor dulu.

- persekitaran yang bersih, cerah (pencahayaan yang cukup), dan tenang.

Bagi saya, perkara di atas sangat penting dalam memelihara emosi pesakit. Maklum sajalah, mereka yang berkunjung ke hospital mempunyai masalah kesihatan dan sudah pasti emosi turut terganggu. Perkara yang dilihat kecil bagi sesetengah orang, sebenarnya memberi impak besar kepada mereka yang memerlukan. Saya tidak terkecuali tatkala memandu sendiri dari pejabat ke hospital kerana berlaku sedikit masalah dengan kandungan dan kesihatan diri. Ketika itu hati sangatlah runsing hanya Allah yang tahu. Air mata bergenang menunggu masa tumpah ke pipi. Bayangkan, jika dengan keadaan saya ketika itu ada staf hospital yang bersikap kasar, pasti terus menangis saya dibuatnya.

Apa  pun jua kriteria ibu-ibu hamil dalam memilih hospital untuk pemeriksaan antenatal atau untuk bersalin sekalipun, saya  dengan rendah diri menyeru dan mengajak ibu-ibu dan bapa-bapa juga mementingkan batasan aurat ibu dari awal pemeriksaan sehinggalah kelahiran. 

Sekian dulu coretan kali ini. Semoga Allah lindungi dan pelihara kita dari perkara yang sia-sia. Amin

 
Images by Freepik