Pages

Thursday, December 18, 2014

Musim Tengkujuh di Kelantan

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Jam 9 pagi. Langit kelihatan kelabu, suasana hening saja. Tiada kicau burung, tiada deru kereta pun. Yang kedengaran cuma titisan hujan yang semakin besar saiznya dan semakin kasar bunyinya. Hujan rahmat masih tidak berhenti sejak beberapa hari, banyak kawasan di Kelantan  yang sudah dinaiki air. Sayu melihat mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman dan menetap di pusat pemindahan banjir. Kasihan melihat anak kecil dan warga emas yang kesejukan. Pilu melihat ibu sarat mengandung mengharung air. Saya doakan urusan mereka yang terpaksa berpindah dipermudahkan oleh-Nya. Semoga mereka kuat dan cekal serta dijauhkan dari sebarang penyakit bawaan banjir. 

Lebih menyayat hati, sehingga hari ini (18/12/2014) banjir di Kelantan dilaporkan telah meragut 2 nyawa iaitu seorang pemuda dan seorang bayi berumur setahun lebih yang terlepas dari dukungan ibunya tatkala ibunya ingin menyelamatkan tiga lagi anaknya dari arus deras. Ya Allah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya doa yang mampu dititipkan buat mangsa dan keluarganya. Allah lebih menyayangi mereka.  Sedih hati saya melihat berita di akhbar walaupun tidak mengenali mangsa. Al-fatihah buat mereka. 



Sunday, December 7, 2014

Review produk : Qaseh Gold Adinda

Teks : Nik Nurul Hana Hanafi 

Assalamualaikum. Hari ini hari ke-37 saya berpantang selepas melahirkan anak kedua saya. Berpantang kali ini banyak bezanya dengan pengalaman berpantang ketika anak pertama 3 tahun yang lepas. Perkara yang paling ketara ialah kesihatan dan kesegaran tubuh badan. Walaupun saya merasa perbezaannya, tidaklah pula saya memberitahu sesiapa. sehinggalah ibu saya sendiri menegur dan memberitahu yang dia perasan saya lebih bertenaga dan lebih 'sihat' selepas melahirkan anak kedua, berbanding dengan kelahiran pertama dulu. 

Hakikatnya, selepas melahirkan anak pertama dulu saya mengambil beberapa jenis supplemen juga. Semuanya berbentuk cecair dari jenama yang terkenal dan mencecah ratusan ringgit juga.  Bukanlah saya kelihatan lemah tidak bermaya ketika itu, cuma kata ibu, kali ini saya kelihatan lebih cergas dan bertenaga. Saya tertawa. Mungkin juga disebabkan saya berasa lega kerana sudah melahirkan anak. Mungkin juga sebab tidak melalui proses kelahiran yang lama. 

Apapun, berpantang kali ni saya memilih untuk tidak membeli supplemen yang sama. Cuma makanan tambahan yang saya ambil ketika mengandung anak kedua dan diteruskan ketika berpantang, sangat membantu saya supaya berasa cergas dan bertenaga. Saya mengambil  Qaseh Gold Adinda secara konsisten setiap pagi dan malam berserta doa dan tawakal kepada Allah. Alhamdulillah saya berasa lebih bertenaga dan kurang letih. Kalau tidak letih tu tipulah, sebab bayi menyusu kerap dan lama, nak melayan karenah si abang yang inginkan perhatian lagi (biasalah perangai bila dah ada adik), nak jaga diri sendiri lagi. Memang letih, walaupun banyak tenaga digunakan tapi saya tidaklah lemah dan cepat letih.  Saya juga rasa lebih rileks dan tenang. Insya Allah, bila hati rileks dan positif, susu pun jadi banyak, badan juga cepat sembuh.

Qaseh Gold Adinda terdiri dari beberapa makanan sunnah termasuk madu, kurma, air zam zam dan lain-lain. Rasanya manis seperti madu, teksturnya likat seperti madu juga. Bolehlah membuat carian dengan lebih terperinci tentang khasiat dan kandungannya di Google ya. Saya cuma ingin berkongsi dengan pembaca tentang kebaikan dan keberkesanannya kepada saya, dengan harapan lebih ramai lagi umat Islam kembali mengamalkan makanan sunnah. Apapun, yang menyembuhkan dan memberi kesihatan kepada kita ialah Allah jua, kita sebagai hambaNya diminta berikhtiar dan berdoa. Moga kita semua diberi kesembuhan dan kesihatan yang berpanjangan. Amin.






Saturday, December 6, 2014

Hari indah dan berpantang

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Langit berwarna biru hari ini. Kepulan awan tinggi penghias kanvas. Indah. Syukur di atas cuaca  dan cahaya yang menerangi. Pada tahun lalu, pada waktu ini biasanya langit berwarna kelabu. Tiada awan. Berhari-hari lamanya bumi basah. Tapi Langit kelabu juga indah. Hujan mencurah memberi rahmah. Tahun itu Monsun tiba seperti biasa. Namun kali ini aturcaranya sedikit berbeza. Kita boleh meramal awan dan warna langit, tapi Dia juga yang menentukannya.


Semasa entri ini ditulis, si kecil baru sahaja lena diulit mimpi setelah tidurnya terganggu beberapa kali. Syukur hari ini sudah 36 hari dia melihat dunia. Bermakna berbaki 4 hari sahaja lagi untuk saya menghabiskan tempoh berpantang. Ya, 40 hari sahaja kami orang-orang Kelantan berpantang. Jangan ditanya kenapa. Saya juga tidak tahu kenapa 40 hari sahaja dan bukan 44 hari seperti yang biasa disebut-sebut.  Sejak dari nenek moyang lagi sudah dipraktikkan tempoh berpantang 40 hari, Saya hanya menurut sahaja. 

Rindu ingin menulis. Namun masa dan tenaga amatlah terbatas. Bila ada masa, sudah terlalu penat dan ingin berehat. Bila bertenaga pula, masa perlu diarahkan ke urusan lain yang lebih penting. Penat sebenarnya bila melahirkan dan berpantang. Diri perlu dijaga dan dirawat, anak- anak juga perlu dijaga. Apatah lagi jika bayi kuat menyusu dan ibu pula harus mengejar masa membuat stok EBM sebagai persediaan mula bekerja nanti.

Si kecil saya lahir 2 minggu lebih awal dari EDD nya. Sangka saya, mungkin awal seminggu seperti abangnya. Ada beberapa barang yang tak sempat saya sediakan sebelum bersalin. Entri tentang persediaan menyambut kelahiran bayi juga tak sempat disiapkan hehe. Insya Allah saya akan siapkan juga nanti. Harap dapatlah curi-curi masa sekejap untuk menaip. Sejak menjadi ibu beranak dua ni, segalanya terbatas lebih-lebih lagi masa dan tenaga. Bagaimanalah nanti bila anak sudah 3,4 dan lebih lagi? Sungguh hebat ibu-ibu di luar sana yang menjaga sendiri anak-anak mereka.



Gambar halaman rumah pun diambil dari tingkap sahaja. Maklumlah, orang berpantang tak dibenarkan keluar rumah kecuali nak ke hospital sahaja. Hehe
 
Images by Freepik