Wednesday, June 15, 2016

Tips Mudah Turunkan Berat Badan Dalam Bulan Puasa Tanpa Perlu Diet atau Senaman

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi




(Gambar dari Google)


Tengok tajuk macam gempak je kan? hehe. Saya nak kongsikan tips bagaimana saya berjaya turunkan berat sebanyak 7 kg pada bulan puasa yang lepas. 7 kg sahaja, taklah turun banyak seperti orang lain. Tapi bagi saya yang memang susah untuk turunkan hatta 1 kg pun, 7 kg adalah sangat banyak. Sepanjang Ramadhan lepas, saya tak senaman berat, cuma buat 'plank' saja sekali sekala bila rajin hehe.


Tipsnya mudah saja, iaitu saya cuma makan sewaktu berbuka dan sahur sahaja. Mudah kan? Faham ke faham? hehe. Ini bermakna, tiada moreh, tiada kuih-muih, tiada colek (popular sgt di Kelantan), tiada lepak minum sampai pagi. Dari waktu berbuka hingga saya tidur, saya banyakkan minum air masak. Bergelas-gelas! Bila dah minum air masak banyak-banyak, memang kita rasa kenyang dan kurang selera dah nak makan kuih yang manis-manis tu.

Makanan manis adalah punca berat tak turun (sebaliknya berat naik) secara kita tak sedar. Jika teringin sangat kuih-muih yang sedap tu (sedap di mulut sahaja, bahaya di perut hehe), saya cuma makan sebiji dua untuk hilangkan rasa kempunan. Selain itu, jika mulut teringin yang manis-manis, saya makan kurma. Saya suka Bam dates yang lembut tu. Makanlah kurma berapa banyak sampai hilang 'sweet tooth' kamu itu. Di sini disiplin sangatlah penting. Perlu kuatkan diri dan hati, maklum sajalah bulan puasa di negara kita ni adakalanya seperti pesta makanan pula. Makanan yang tak dijual pada bulan lain, ada dijual pada bulan puasa. Istimewa sangat kan, membuatkan kita rasa rugi jika terlepas peluang untuk MAKAN. Teringat saudara kita di Syria. Mereka bukan saja tak mampu nak buka puasa sedap-sedap, nak sahur pun takde makanan. Allahu. Insaf.





Gambar : Seorang NGO mengagihkan makanan berbuka kepada rakyat Syria di Aleppo, 11 Jun 2016.

Sumber : http://www.huffingtonpost.com/

Tuesday, June 14, 2016

Ramadhan Bulan Rahmat

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Diam tak diam sudah lebih setahun saya tidak menulis di sini. Saban hari saya menulis juga cuma di medium yang lain. Tambahan pula sekarang bergelar pelajar siswazah, mahu tak mahu kenalah juga paksa diri untuk menulis walau sepotong ayat. Saya akui, saya tidak pandai bermain kata. Sukar sekali bagi saya walau untuk menulis sepotong ayat yang memberi impak. Sukar. Apatah lagi mahu membina ayat ilmiah untuk penulisan saintifik. Jemari kelihatan lincah menekan-nekan huruf di keyboard, beberapa minit kemudian lincah pula menekan butang backspace. Itulah saya hehe.



Syukur hari ini diberi ilham oleh Allah untuk 'menyapu sawang' di blog ini. Hari ini 14 Jun 2016, sudah 9 hari umat Islam di Malaysia berpuasa pada tahun 1437H. Sudah habis sepertiga Ramadhan. Hari ini saya imbas kembali amalan yang saya sempat lakukan. Pilu rasa hati. Tak sepadan dengan peluang yang Allah berikan. Banyak sudah perkongsian di laman sosial tentang amalan di bulan Ramadhan seperti target untuk khatam alQuran, zikir tertentu, dan bermacam lagi. Mudah sekali zaman ini kita nak tambah ilmu. Tapi itulah, kita orang perempuan ni seakan berganda-ganda sibuknya di bulan Ramadhan. Memang sudah sedia sibuk dengan urusan harian, malah ditambah pula sibuk dengan tempahan raya, memikirkan juadah berbuka (jika masak yang simple dan biasa dimasak nanti keluarga komplen pula huhu) dan ada yang sibuk berniaga. Maklum sajalah, bulan Ramadhan ni luar biasa, rezeki mudah sangat masuk (dengan syarat tak goyang kaki lah hehe). Bila dah sibuk dengan macam-macam urusan, amal ibadah pun kadangkala entah ke mana. Tambahan bila kita orang perempuan ni ada keistimewaan Allah beri cuti. Kena berganda juga usaha untuk 'catch-up' dengan target amalan, misalnya target untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadhan.



Allah limpahkan rahmat-Nya di bulan Ramadhan ni. Bahkan orang yang berpuasa lebih mustajab doanya dari yang tidak berpuasa. Di samping itu juga, terdapat beberapa waktu paling mustajab yang kita boleh ambil peluang untuk berdoa seperti waktu sebelum berbuka puasa. Ambil masa sekejap sebelum menjamah kurma untuk berdoa kepada Allah. Begitu juga sewaktu menjelang sahur. Sayangnya Allah pada kita. Maka nikmat manakah yang kita dustakan?

Friday, December 18, 2015

Setahun berlalu : Tengkujuh tiba lagi

Assalamualaikum readers.

Sedar tak sedar dah hampir setahun tak menulis. Terasa macam sekejap saja dah nak habis setahun. Sudah tentulah banyak sangat yang dah berlaku dalam tempoh masa setahun ni. Dan seperti setiap kali tiba tahun baru, sibuklah saya dengan perancangan tahun baru. Tidak pernah sudah dengan perancangan untuk diri dan keluarga. Cuma kali ini amat berbeza kerana lebih banyak perkara besar yang perlu saya ambil kira sebelum melangkah ke tahun baru. Perkara ini melibatkan perubahan 360 darjah bagi kami sekeluarga, lebih-lebih lagi bagi diri saya. With Allah's willing, if I take the opportunity, Yes, it's going to be a massive change for me. Dalam keterujaan, tersemat sedikit keraguan. Ragu-ragu dengan kebolehan dan kemampuan diri. Juga ada sedikit kerisauan dengan tempat baru yang bakal didiami. Segalanya adalah berbeza. Paling dirisaukan ialah penerimaan anak-anak. Juga risau dengan kos dan cara hidup serta budaya di sana. Mampukah bertahan dengan cuacanya juga?

Semasa menulis entri ini, hujan mencurah-curah di bumi Pasir Mas ini. Langit kelabu sejak semalam. Kadangkala halus titisnya kadangkala berat. Tengkujuh tiba lagi. Topik popular pada musim ini ialah kadar hujan dan paras air sungai. Masing-masing menyuarakan kebimbangan tentang banjir sambil mengenang kembali dugaan besar pada tahun lepas buat penduduk Kelantan khasnya. 

"Allahumma soyyiban nafi'a". Mari memanjatkan doa pada-Nya tatkala hujan iaitu antara waktu mustajab untuk memohon rahmat dari-Nya. Mohonlah apa saja. Mohon seikhlas hati. Mohon dengan yakin dan rendah diri. "Mohonlah padaKu, nescaya Aku perkenankan" (Surah Al-Ghaafir ayat 60)

Saturday, January 10, 2015

Bah kuning Disember 2014

Teks: Nik Nurul Hana binti Hanafi




Banjir pergi. 
Bukan setakat meninggalkan lumpur dan daki. 
Banjir ini memahat kenangan dan luka terburuk barangkali. 
Banjir ini membawa pergi tempat berteduh, kenderaan, lembu, itik dan serati. 
Di sana sini doa tidak henti-henti agar kentalnya hati. 
Bergantung harap hanya pada Yang Maha Mengetahui. 
Al-fatihah dan doa dititip kepada jasad yang di bumi namun jiwanya dijemput Ilahi.
Kita yang di sini mahukah mengubah diri. 
Kerana kita telah diuji. 
Dan kita sentiasa diperhati.
Ya Rabb ampunkanlah kami.

Monday, January 5, 2015

Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 4) - Peralatan untuktidur

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi

Semasa anak pertama dahulu, saya memilih untuk co-sleeping dengan anak saya iaitu dengan tidur dengan anak di atas katil saya. Cara ini lebih menjimatkan masa dan tenaga terutama tatkala bayi bangun di tengah malam untuk menyusu. Jika bayi tidur di katilnya sendiri, ibu perlu bangun dari katil ibu, berjalan ke katil bayi, tunduk untuk mengangkat bayi, dan seterusnya kembali ke katil ibu atau duduk di kerusi untuk menyusukan bayi. Betapa banyak masa dan tenaga telah terbazir di situ. Lagipun bagi ibu yang bersalin melalui pembedahan, pergerakan sebegini haruslah dikurangkan dahulu. 

Berikut adalah cadangan keperluan asas bagi barangan tidur bayi :
1) set tilam dan bantal berserta sarungnya (kekabu atau fiber)
2) kelambu bayi
3) selimut/quilt (optional)

Set tilam dan bantal
Sekarang terdapat banyak pilihan tilam bayi di pasaran. Ada yang diperbuat dari fiber (seperti isi teddy bear) dan ada yang diperbuat dari kekabu. Pastikan ibu memilih sarung dari fabrik kapas atau cotton supaya tidak panas.  Saya lebih gemarkan tilam kekabu kerana tahan lama dan tidak panas. Ketika anak pertama dulu saya menempah tilam kekabu yang berukuran seperti katil bayi. Kebetulan katil bayi yang dibeli tidak didatangkan dengan tilam. Jadi tilam kekabu yang ditempah ini selain digunakan untuk co-sleeping semasa pantang, boleh juga diguna untuk katil bila bayi sudah agak besar. Mudah dan jimat ;)

Contoh set tilam kekabu. (Sumber : Google)




Petua dan tips halau nyamuk
Berdasarkan pengalaman lepas, semasa bangun menyusukan bayi di tengah malam, nyamuk datang berlegar-legar mengerumuni bayi. Setakat ini saya telah mencuba beberapa cara selamat atau petua menghalau nyamuk. Cara pertama saya mencuba 'mosquito patch' iaitu sejenis 'repellent' berbentuk pelekat yang dilekatkan di baju bayi. Pelekat ini mempunyai bau seakan serai wangi yang dikatakan dapat menghalau nyamuk. Boleh didapati dengan pelbagai jenama di pelbagai farmasi seperti Watson serta di pasaraya. 

Saya juga pernah mencuba cara natural iaitu menggunakan limau nipis dan bunga cengkih. Caranya mudah saja, potong limau kepada dua bahagian, cucukkan bunga cengkih memenuhi isi limau dan letakkan berhampiran tempat tidur. Insya Allah nyamuk tak datang dekat. Cara ini berkesan dalam 2 ke 3 hari saja sementara limau masih segar. Apabila limau sudah kecut atau kering ia sudah tidak berkesan lagi dan perlu ditukarkan dengan yang baru.

Walaupun cara-cara di atas hanya menghalau dan tidak membunuh nyamuk tapi bagi saya, cara ini lebih selamat dari menggunakan penyembur aerosol atau menggunakan elektrik terutama dengan kehadiran bayi. 

Thursday, December 18, 2014

Musim Tengkujuh di Kelantan

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Jam 9 pagi. Langit kelihatan kelabu, suasana hening saja. Tiada kicau burung, tiada deru kereta pun. Yang kedengaran cuma titisan hujan yang semakin besar saiznya dan semakin kasar bunyinya. Hujan rahmat masih tidak berhenti sejak beberapa hari, banyak kawasan di Kelantan  yang sudah dinaiki air. Sayu melihat mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman dan menetap di pusat pemindahan banjir. Kasihan melihat anak kecil dan warga emas yang kesejukan. Pilu melihat ibu sarat mengandung mengharung air. Saya doakan urusan mereka yang terpaksa berpindah dipermudahkan oleh-Nya. Semoga mereka kuat dan cekal serta dijauhkan dari sebarang penyakit bawaan banjir. 

Lebih menyayat hati, sehingga hari ini (18/12/2014) banjir di Kelantan dilaporkan telah meragut 2 nyawa iaitu seorang pemuda dan seorang bayi berumur setahun lebih yang terlepas dari dukungan ibunya tatkala ibunya ingin menyelamatkan tiga lagi anaknya dari arus deras. Ya Allah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya doa yang mampu dititipkan buat mangsa dan keluarganya. Allah lebih menyayangi mereka.  Sedih hati saya melihat berita di akhbar walaupun tidak mengenali mangsa. Al-fatihah buat mereka. 



Sunday, December 7, 2014

Review produk : Qaseh Gold Adinda

Teks : Nik Nurul Hana Hanafi 

Assalamualaikum. Hari ini hari ke-37 saya berpantang selepas melahirkan anak kedua saya. Berpantang kali ini banyak bezanya dengan pengalaman berpantang ketika anak pertama 3 tahun yang lepas. Perkara yang paling ketara ialah kesihatan dan kesegaran tubuh badan. Walaupun saya merasa perbezaannya, tidaklah pula saya memberitahu sesiapa. sehinggalah ibu saya sendiri menegur dan memberitahu yang dia perasan saya lebih bertenaga dan lebih 'sihat' selepas melahirkan anak kedua, berbanding dengan kelahiran pertama dulu. 

Hakikatnya, selepas melahirkan anak pertama dulu saya mengambil beberapa jenis supplemen juga. Semuanya berbentuk cecair dari jenama yang terkenal dan mencecah ratusan ringgit juga.  Bukanlah saya kelihatan lemah tidak bermaya ketika itu, cuma kata ibu, kali ini saya kelihatan lebih cergas dan bertenaga. Saya tertawa. Mungkin juga disebabkan saya berasa lega kerana sudah melahirkan anak. Mungkin juga sebab tidak melalui proses kelahiran yang lama. 

Apapun, berpantang kali ni saya memilih untuk tidak membeli supplemen yang sama. Cuma makanan tambahan yang saya ambil ketika mengandung anak kedua dan diteruskan ketika berpantang, sangat membantu saya supaya berasa cergas dan bertenaga. Saya mengambil  Qaseh Gold Adinda secara konsisten setiap pagi dan malam berserta doa dan tawakal kepada Allah. Alhamdulillah saya berasa lebih bertenaga dan kurang letih. Kalau tidak letih tu tipulah, sebab bayi menyusu kerap dan lama, nak melayan karenah si abang yang inginkan perhatian lagi (biasalah perangai bila dah ada adik), nak jaga diri sendiri lagi. Memang letih, walaupun banyak tenaga digunakan tapi saya tidaklah lemah dan cepat letih.  Saya juga rasa lebih rileks dan tenang. Insya Allah, bila hati rileks dan positif, susu pun jadi banyak, badan juga cepat sembuh.

Qaseh Gold Adinda terdiri dari beberapa makanan sunnah termasuk madu, kurma, air zam zam dan lain-lain. Rasanya manis seperti madu, teksturnya likat seperti madu juga. Bolehlah membuat carian dengan lebih terperinci tentang khasiat dan kandungannya di Google ya. Saya cuma ingin berkongsi dengan pembaca tentang kebaikan dan keberkesanannya kepada saya, dengan harapan lebih ramai lagi umat Islam kembali mengamalkan makanan sunnah. Apapun, yang menyembuhkan dan memberi kesihatan kepada kita ialah Allah jua, kita sebagai hambaNya diminta berikhtiar dan berdoa. Moga kita semua diberi kesembuhan dan kesihatan yang berpanjangan. Amin.






 
Images by Freepik