Pages

Friday, June 27, 2014

Tutorial : 'Makeover' Maxi Dress Menjadi Skirt

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Entri kali ini berkisar tentang 'makeover' pakaian lagi. Ini rentetan dari entri saya yang lepas tentang pakaian lama masih boleh diolah dan menghasilkan sesuatu yang baru. Boleh rujuk di sini jika berminat mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang saya maksudkan. 

Kali ini melibatkan sehelai 'maxi dress' yang saya beli ketika mengandungkan anak pertama kira-kira tiga tahun lepas. Rasanya tak sampai 5 kali memakainya. Kainnya amat lembut dan selesa, tidak panas, tidak jarang malah warnanya menarik pula. Apa sebab utama saya jarang memakainya? Sebab setiap kali memakainya, saya terasa seperti memakai baju tidur, malah ada juga rakan-rakan yang menegur begitu. Walhal, baju tersebut adalah untuk 'daywear', malah jenamanya juga dikenali. Mungkin potongannya tidak sesuai dengan saya, kerana baju itu sebenarnya agak besar untuk saya walaupun ketika itu saya berbadan dua. 

Ketika membuat 'spring cleaning' baru-baru ini, saya teragak-agak untuk menyedekahkan baju tersebut kerana ia mempunyai nilai tersendiri bagi saya, maklumlah dibeli ketika hamil buat kali pertama. Bagi rakan-rakan yang mengenali diri ini, ini bukanlah perkara baru. Saya memang seorang yang berjiwa sentimental, lebih-lebih lagi jika sesuatu barang tersebut mempunyai nilai kenangannya tersendiri. 

Lalu, terbitlah ilham untuk mengolah 'maxi dress' tersebut menjadi sehelai skirt. Setelah diukur, saya memerlukan beberapa inci kain untuk disambung di bahagian atas skirt, ini kerana 'dress' asal agak pendek dan tidak melepasi kaki jika dipotong. Pembaca boleh rujuk gambar di bawah bagi penerangan  yang lebih jelas.



Maxi dress yang bakal diolah menjadi sehelai skirt. Dapatkah pembaca sekalian membayangkan hasilnya?



Alatan yang diperlukan:
'Maxi dress' yang hendak diolah
Benang 
Getah pinggang lebar 1 inci 
Gunting
Pita ukur
Kapur penanda
Jarum peniti
Lain-lain alatan jahitan yang difikirkan perlu



1. Pertama sekali, ukur labuh skirt yang dikehendaki dan tandakan pada pakaian yang hendak diolah. Bagi situasi saya, saya tiada pilihan selain terpaksa memotong di bahagian ketiak baju ini kerana bahagian atas baju tidak dapat digunakan. 
















2. Potong bahagian yang tidak diperlukan. 




















3. Memandangkan labuh skirt yang dikehendaki tidak mencukupi, saya memerlukan kain sambungan untuk bahagian atas skirt nanti. Saya mengambil sehelai lagi 'maxi dress' yang jarang dipakai. Jika perlu kain sambungan, ukur dan potonglah kain sambungan yang diperlukan mengikut lebar dan panjang yang sesuai dengan skirt. 


4. Ambil kain sambungan dipotong dan pinkan pada bahagian skirt tadi. Pastikan bahagian berjahit antara kedua-dua kain bertemu. Kemudian jahitkan sekeliling bagi mencantumkan kedua-dua kain.


5. Setelah dicantumkan, skirt akan kelihatan seperti di atas. Ukur dan lipat sebanyak 1.5 inci di bahagian atas skirt bagi memuatkan getah pinggang. Jahit sekeliling kain yang dilipat dan tinggalkan bukaan sebanyak 2 -3 inci bagi memasukkan getah pinggang nanti.

6. Ukur lilitan pinggang yang dikehendaki dan potonglah getah pinggang mengikut ukuran. Biasanya saya kurangkan 1.5 inci dari ukuran asal untuk jerutan getah dan basi cantuman getah nanti. Ukuran boleh dikurangkan mengikut keselesaan pada pinggang masing-masing.




7. Masukkan getah ke dalam bahagian lipatan yang telah dijahit. Sambungkan hujung getah dan jahitkan bahagian lipatan yang terbuka tadi.


8. Kemaskan dan jahitkan bahagian getah supaya bercantum dengan kain. Ini bagi mengelakkan getah pinggang bergulung apabila dipakai dan dibasuh nanti. Semasa menjahit di bahagian tengah getah, tarik getah bersama kain supaya tegang dan kemas.



Akhirnya, sehelai skirt baru sudah terhasil dari dua helai pakaian lama. Cantik, bukan?. Semoga pembaca mendapat manfaat dan idea dari perkongsian saya ini. Saya yakin, pembaca yang kreatif sekalian sudah pasti mendapat ilham dari entri ini. Selamat mencuba!


No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik