Pages

Friday, June 20, 2014

Adilkah kita dalam mengukur kejayaan?

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Semua orang mahu berjaya. Jika ditanya pada murid sekolah yang setahun jagung pun mereka mahu berjaya. Apatah lagi bila diajukan soalan sama pada yang sudah dewasa dan sudah kenal erti penat lelah demi sebuah kejayaan. Soalnya sekarang, bagaimana kita mengukur kejayaan? Adakah sekarang diri kita sudah dikira berjaya?Apakah definisi kejayaan yang sebenarnya?  

Setiap hari kita lihat orang berjaya mencapai sesuatu. Ada yang dianugerahkan pangkat atau darjah. Ada juga yang berjaya mengeluarkan produk tertentu. Ada yang berkereta mewah. Ada yang berjaya membeli rumah demi rumah. Ada yang semalam melancong ke Eropah, esok pula ke Timur Tengah. 

Saya mengenali seorang arkitek yang sangat berjaya. Di mata masyarakat, beliau dilihat biasa-biasa sahaja. Pakaian biasa-biasa sahaja. Kereta pula Mercedes Benz model tahun 1984. Beberapa kali pangkat Dato' ditawarkan tapi ditolak dengan baik. Tapi bagi yang betul-betul mengenali beliau pasti tahu, beliau mempunyai rangkaian bidang tanah di lokasi primer yang mencecah jutaan ringgit, termasuklah tanah di Sabah. Semasa mula bekerja dahulu, saya selalu bertanyakan pengalaman beliau sebagai orang lama. Dari ceritanya, beliau selalu meluahkan kerisauan dan geram di hati dengan orang-orang muda yang 'malu' dan 'segan' mahu menyinsing lengan untuk 'berpeluh-peluh' bekerja keras. Orang muda sekarang mahu dilihat hebat dan dipandang gah walaupun gaji cukup makan saja. Ada juga yang rajin dan berjaya tapi malangnya tersilap langkah di tengah jalan dan akhirnya tersungkur. 

Beliau menceritakan betapa susahnya untuk diterima masuk ke universiti ketika dijajah British hanya kerana beliau seorang yang berbangsa Melayu dan bukan dari golongan bangsawan. Pelbagai alasan diberi, pelbagai kursus dan peperiksaan perlu dijalani, barulah diizinkan terbang melanjutkan pelajaran ke University of Manchester. Kata beliau, orang Melayu yang bukan dari golongan bangsawan yang berjaya ke luar negara pada ketika itu mungkin kurang dari 10 orang, termasuklah Tun Mahathir kita. 

Beliau adalah salah seorang orang yang paling positif, bersemangat dan sangat optimis yang pernah saya kenal. Dalam usia awal 70-an, beliau masih memanjat 'scaffolding' ketika lawatan projek di tapak. Saya sebagai arkitek muda turut terasa malu dengan semangat dan energi positif yang beliau miliki. Beliau amat menitik beratkan soal pemakanan dan perasaan. Perlulah makan dan fikir yang baik-baik saja kerana makanan tidak sihat dan fikiran negatif katanya "boleh buat kita nampak tua".

Sedikit demi sedikit saya ubah 'mindset orang muda' yang ada dalam diri ketika itu. Kadangkala terpengaruh juga dengan definisi kejayaan yang entah dari manalah datangnya. Setiap yang bekerja seolah-olah wajib memiliki barangan cantik dan mewah bagi membuktikan kejayaan dan kemampuan kita. Ketika itu hidup sendirian, tiada komitmen dan masih mentah dalam dunia kerjaya dan pengurusan kewangan, memang mudah sangat terpengaruh. Pesan beliau lagi "Apa yang kau nak buktikan? Kau nak buktikan gaji kau tinggi dan kau mampu hidup senang?". Walaupun kata-kata itu ditujukan kepada semua staf muda di pejabat, namun bagai terkena batang hidung sendiri.

Semua orang mahu hidup selesa. Semua orang mahu menyediakan yang terbaik untuk keluarga. Tapi apa yang kita miliki bukanlah ukuran sebenar kejayaan kita. Tidak bermakna seseorang itu tidak memiliki kereta, rumah, tanah, tidak melancong setiap bulan, maka dia tidak boleh dikategorikan sebagai orang berjaya. Pernahkah  kita selami kehidupan orang berjaya? Tidak perlu kita canangkan si polan baru saja beli BMW model baru dan si polan lain pula masih memandu Proton Waja model tahun 2004. Si A sudah berjaya membeli sebuah rumah, manakala si B pula masih menyewa di tempat lama walaupun anak sudah lima. Bagi yang masih belum memiliki harta sementara ini usah pula jauh hati. Ramai yang tahu, hidup ini bukan sekadar mengejar harta yang belum dimiliki saja, namun begitu pernahkah kita berhenti mengejar?

Adilkah kita dalam mengukur kejayaan? Kita ukur sajalah kejayaan kita, adakah sejajar dengan impian dan usaha kita? Definisi kejayaan jangan disempitkan dengan ukuran material semata-mata. Setiap hari sebenarnya kita berjaya. Setiap hari ada panggilan mengajak kita menuju kejayaan. Luaskan fikiran, kita diseru mengejar kejayaan untuk bekalan dunia sementara dan dunia yang kekal nanti. Tidak adil jika kita memandang sinis pada mereka yang sudah memiliki dan belum memilikinya. Siapa kita untuk mengukur kejayaan orang? Siapa kita untuk mengukur penat lelahnya? Siapa kita untuk mengukur usaha dan ujiannya? Tepuk dada tanya selera. 






Sumber imej : Google

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik