Alhamdulillah dengan izin-Nya dapatlah saya bercuti seketika dan pulang ke Kelantan. Sungguh tak sangka, kali ini banyak betul halangan sebelum dapat menjejakkan kaki ke kampung halaman. Syukur, akhirnya sampai juga.
Si kecil kelihatannya sangat gembira dapat pulang dan bertemu dengan atuk,nenek, ibu saudara, bapa saudara dan sepupu kecilnya yang seorang itu. Waktu pula terisi dengan lebih banyak senyuman, ketawa riang dan aktiviti gembira. Hati bahagia.
Baru saja beberapa hari di kampung, Aariq nampaknya sudah boleh menuturkan banyak perkataan baru. Bahkan dapat menuturkan ayat lengkap yang lebih panjang dari sebelum ini. Saya gembira dan bersyukur. Emosi yang positif, perasaan gembira sebenarnya menyumbang besar dalam perkembangan mental dan fizikal. Saya yakin, kesihatan emosi menentukan kesihatan fizikal. Hati gembira buat fizikal kita gembira lalu kita menjadi lebih bertenaga, lebih terbuka dan lebih sihat.
Saya teringat rutin saya setiap hari. Ketika pulang dari tempat kerja, wajiblah saya akan kepenatan sehinggakan memasak pun ala kadar sahaja. Tetapi apabila ibu bapa dan adik-adik bertandang, secara automatik rasa penat hilang dek terlalu gembira. Waktu malam pun masih rasa bertenaga.
No comments:
Post a Comment