Pages

Wednesday, November 12, 2014

Tutorial : Topi untuk 'newborn'

Teks: Nik Nurul Hana binti Hanafi


Topi penutup kepala adalah salah satu pakaian yang mesti ada bagi melindungi kepala bayi baru lahir yang sememangnya masih lembut dan perlulah dilindungi selalu, terutamanya jika keluar membawa bayi ke klinik dan sebagainya. Kepala bayi yang baru dicukur juga perlu ditutup bagi mengelakkan selsema. Di sini saya kongsikan tutorial topi yang telah saya jahit sebagai persiapan menyambut kelahiran bayi kedua. Membuatnya amat mudah, ibu (atau bapa) tidak perlukan skil menjahit yang tinggi pun. 

Alatan yang diperlukan
Kain jenis 'knit cotton'
Benang 
Gunting
Pita ukur
Jarum peniti
Topi untuk dijadikan contoh ukuran

Langkah-langkah

1. Bentangkan dua lapisan kain knit cotton dengan bahagian luar menghadap ke dalam. Kemudian tekapkan dengan topi contoh dengan melebihkan 0.5 inci untuk basi.

2. Masih lagi dibentangkan dengan dua lapisan, ukur sekeping lagi kain sepanjang 6 inci dengan lebar yang sama dengan topi. Kemudian potong mengikut ukuran. Anda akan mendapat 2 kepingan kain seperti di bawah. Bagi mengelakkan kekeliruan, kita namakan kepingan yang melengkung sebagai Kepingan 1 dan kepingan segi empat sebagai Kepingan 2.


3. Seterusnya, dengan menggunakan mesin jahit lurus atau mesin jahit tepi, cantumkan di bahagian melengkung di Kepingan 1 serta cantumkan juga di bahagian kanan Kepingan 2 (iaitu bahagian yang tidak bercantum), seperti gambar di bawah.



4. Dengan bahagian berjahit di sebelah dalam, lipatkan Kepingan 2 seperti gambar di bawah.



5. Kemudian masukkan Kepingan 2 ke dalam Kepingan 1 dengan memastikan bahagian yang tidak bercantum antara kedua-dua Kepingan bertemu. Pastikan bahagian berjahit Kepingan 1 masih lagi berada di luar.



6. Pinkan bahagian yang tidak bercantum di kedua-dua kepingan supaya kemas dan mudah diurus. Gambar di bawah menunjukkan Kepingan 2 berada di dalam Kepingan 1.



7.  Kemudian jahit @ cantumkan bahagian yang dipinkan tadi. Terbalikkan topi dan keluarkan Kepingan 2 dari dalam Kepingan 1, lalu anda akan mendapat topi seperti di bawah. 


8. Lipatkan bahagian bawah topi menghala ke atas kira-kira 3/4 dr panjangnya, atau sehingga menutupi bahagian cantuman. Topi yang telah siap akan kelihatan seperti gambar di bawah.


9. Bahagian cantuman tidak kelihatan di bahagian luar topi. Kemaskan mengikut kesukaan dan bolehlah dijahit sedikit di bahagian bawah topi supaya ia lebih terletak.


Topi bayi sudahpun siap! Diharap tutorial di atas dapat membantu ibu (atau bapa) yang berhajat menjahit sendiri topi bayi. Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan, boleh tinggalkan komen di bawah atau boleh emelkan sahaja ke niknurulhanahanafi@gmail.com. Selamat mencuba! 




 
Images by Freepik