Pages

Tuesday, June 14, 2016

Ramadhan Bulan Rahmat

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Diam tak diam sudah lebih setahun saya tidak menulis di sini. Saban hari saya menulis juga cuma di medium yang lain. Tambahan pula sekarang bergelar pelajar siswazah, mahu tak mahu kenalah juga paksa diri untuk menulis walau sepotong ayat. Saya akui, saya tidak pandai bermain kata. Sukar sekali bagi saya walau untuk menulis sepotong ayat yang memberi impak. Sukar. Apatah lagi mahu membina ayat ilmiah untuk penulisan saintifik. Jemari kelihatan lincah menekan-nekan huruf di keyboard, beberapa minit kemudian lincah pula menekan butang backspace. Itulah saya hehe.



Syukur hari ini diberi ilham oleh Allah untuk 'menyapu sawang' di blog ini. Hari ini 14 Jun 2016, sudah 9 hari umat Islam di Malaysia berpuasa pada tahun 1437H. Sudah habis sepertiga Ramadhan. Hari ini saya imbas kembali amalan yang saya sempat lakukan. Pilu rasa hati. Tak sepadan dengan peluang yang Allah berikan. Banyak sudah perkongsian di laman sosial tentang amalan di bulan Ramadhan seperti target untuk khatam alQuran, zikir tertentu, dan bermacam lagi. Mudah sekali zaman ini kita nak tambah ilmu. Tapi itulah, kita orang perempuan ni seakan berganda-ganda sibuknya di bulan Ramadhan. Memang sudah sedia sibuk dengan urusan harian, malah ditambah pula sibuk dengan tempahan raya, memikirkan juadah berbuka (jika masak yang simple dan biasa dimasak nanti keluarga komplen pula huhu) dan ada yang sibuk berniaga. Maklum sajalah, bulan Ramadhan ni luar biasa, rezeki mudah sangat masuk (dengan syarat tak goyang kaki lah hehe). Bila dah sibuk dengan macam-macam urusan, amal ibadah pun kadangkala entah ke mana. Tambahan bila kita orang perempuan ni ada keistimewaan Allah beri cuti. Kena berganda juga usaha untuk 'catch-up' dengan target amalan, misalnya target untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadhan.



Allah limpahkan rahmat-Nya di bulan Ramadhan ni. Bahkan orang yang berpuasa lebih mustajab doanya dari yang tidak berpuasa. Di samping itu juga, terdapat beberapa waktu paling mustajab yang kita boleh ambil peluang untuk berdoa seperti waktu sebelum berbuka puasa. Ambil masa sekejap sebelum menjamah kurma untuk berdoa kepada Allah. Begitu juga sewaktu menjelang sahur. Sayangnya Allah pada kita. Maka nikmat manakah yang kita dustakan?

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik