Pages

Saturday, June 14, 2014

Tentang kebesaran-Nya dan kekerdilan kita

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Semasa membantu memasak di dapur pada tengahari semalam, saya sempat berbual-bual dengan pembantu rumah ibu yang berasal dari Indonesia. Dia begitu teruja melihat adik-adik saya mencuba niqab yang baru dijahit dan secara seloroh bertutur dalam bahasa Arab. Adik-adik saya yang dua orang itu memang belajar bahasa Arab di universiti lalu ketawa berderai. Pembantu rumah kami yang dipanggil 'Neng' itu pernah bekerja di Arab Saudi sebagai pembantu rumah, mungkin hampir 10 tahun juga jadi tak hairanlah dia boleh tertutur bahasa Arab walaupun lenggoknya lain dengan bahasa Arab komunikasi yang dipelajari di universiti.

Sedang dia memotong sayuran, dia mengadu kakinya sakit dan berkata dia sudah tua serta bergantung dengan ubat saja jika sakitnya datang. Dari wajahnya saya mengagak umurnya belum sampai 40-an tetapi dia sendiri tidak tahu umurnya berapa tahun. "Saya tidak pernah ke sekolah, tidak tahu membaca dan menulis. Umur pun tidak tahu" katanya sambil ketawa. Saya turut ketawa, bukan bermaksud memperkecilkannya. Cuma ingin membuat dia selesa supaya terus bercerita.

"Tapi syukur ketika saya kerja di Saudi dulu, saya berdoa di depan Kaabah mohon Allah izinkan saya membaca. Saya menangis dan berdoa. Syukur saya belajar dan boleh membaca surah Yaasin. Dahulu saya tidak bisa baca. Saya juga tidak bisa tulis. Tapi saya bisa sms, tekan saja huruf di telefon. Saya syukur sekarang saya sudah bisa baca surah. Allah makbulkan doa saya". cerita Neng panjang lebar

Terdiam dan terkesima saya mendengar ceritanya. Sungguh, bantuan dan pertolongan Allah tiada hadnya bagi hamba yang benar-benar mengharapkan kurniaan dari-Nya. Terasa diri ini sangat kerdil. Saya masih muda jika dibandingkan dengan Neng. Peluang pendidikan, pekerjaan dan cara hidup saya jauh lebih baik daripadanya. Tetapi saya masih belum berpeluang menangis dan berdoa di hadapan rumah Allah walaupun saya tahu Allah mendengar doa hamba-Nya walau di mana kita. Begitupun, terasa saya tidak sungguh-sungguh memohon sesuatu daripada Allah. Begitu payah Neng ingin mendapatkan ilmu, saya yang dapatkannya dengan mudah pula tidak memanfaatkan sepenuhnya. Allahuakbar. Hinanya diri ini. 

Menangis dan berdoalah kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati. Dia pasti mendengar. Dia yang Maha Mendengar. Setelah itu berusahalah juga dengan bersungguh-sungguh. Tiada istilah 'sudah terlambat' atau 'sudah tua' atau 'sudah tidak larat' atau 'sudah tidak ada harapan'. Alasan memang mudah dicipta. Lihat saja kisah Neng, dari yang tidak tahu membaca kini sudah boleh membaca surah walaupun pada usia yang sudah lanjut. Neng tidak melalui alam persekolahan seperti kita atau anak-anak kita. Tidak juga menghadiri mana-mana kursus motivasi. Tapi motivasi dalam dirinya begitu kuat. Saya doakan kita dikurniakan motivasi yang kuat untuk memperbaiki diri dan seterusnya memperbaiki kualiti hidup kita dan keluarga serta segelintir masyarakat yang tidak mahu bersusah-payah berubah kepada yang lebih baik. Moga kita istiqamah juga. Amin. 

Friday, June 13, 2014

Tutorial : Menjahit niqab

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Salam Jumaat barakah. Alhamdulillah masih diberi nafas untuk bangkit memohon keampunan pada hari ini. Indahnya hari Jumaat di kampung halaman. Tenang. Burung-burung pun berkicau lebih rancak dari biasa. Semoga setiap dari kita menjadikan peluang bernafas ini untuk memanjatkan syukur dan memohon ampun. 

Insya Allah esok, kedua-dua orang tua saya dan dua orang adik perempuan akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah. Sudah menjadi kebiasaan bagi kami untuk saling membantu menyediakan pakaian dan barangan yang perlu dibawa ke sana. Setelah dihitung, ditambah, ditolak, adik-adik saya memerlukan niqab sehelai seorang. Masa makin suntuk untuk keluar membelinya. Saya teringatkan  beberapa helai selendang hitam  yang didatangkan dengan jubah yang pernah dibeli di Tanah Suci dulu, yang jarang-jarang dipakai. Lalu saya mendapat ilham untuk menjahit niqab untuk mereka berdua dari selendang ini. Dapatlah saya mengolah semula selendang itu dan tiadalah pembaziran berlaku Insya Allah.

Terdapat pelbagai cara membuat niqab. Saya menjahit niqab dengan olahan sendiri dan mengikut keselesaan pemakainya nanti. Di sini saya akan berkongsi cara menjahit niqab dari sehelai selendang berwarna hitam.

Alatan yang diperlukan:
05.m kain mengikut pilihan - saya gunakan sehelai selendang
Benang 
Riben atau kain yang dijahit menjadi seperti tali
Gunting
Pita ukur
Kapur penanda
Jarum peniti
Lain-lain alatan jahitan yang difikirkan perlu



1. Sediakan alatan jahitan terlebih dahulu



2. Ukuran yang saya gunakan untuk penutup muka ialah kira-kira 10.5 inci lebar dan 16 inci labuh. Ukuran ini boleh diubah mengikut kesesuaian bentuk wajah dan keselesaan pemakai.

3. Jahit keliling kain bagi mengelakkan kain berbulu, boleh dijahit kelim atau jahit lurus mengikut kesukaan.



4. Sediakan pula bahagian atas yang berfungsi sebagai penutup dahi berukuran 6 inci lebar dan 22 inci panjang. Lipat secara memanjang dan cantumkan bahagian panjang kain. Cantumkan juga bahagian kiri dan kanan kain

5. Letakkan bahagian penutup dahi di tengah-tengah penutup muka dan cantumkan 1.5 inci hingga 2 inci di bahagian hujung penutup muka seperti gambar di atas. Panjang cantuman ini bergantung pada keselesaan bukaan mata pemakai.


6. Akhir sekali jahitkan riben atau tali pengikat di kanan dan kiri penutup dahi. Bagi mereka yang tidak mahu menggunakan riben, bolehlah panjangkan lagi penutup dahi tersebut mengikut keselesaan masing-masing.



Niqab yang sudah siap. Alhamdulillah. Alhamdulillah atas ilham ini ya Allah.

Thursday, June 12, 2014

Jalan berbeza : Mengapa tidak sokong saja?

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Sudah menjadi kelaziman bagi mereka yang baru tamat pengajian akan dihujani dengan pelbagai soalan tentang masa depan. Kerja di mana, sebagai apa, tinggal di mana, menyewa sendiri atau tinggal dengan ibu bapa, sudah ada calonkah, bila mahu kahwin, dan pelbagai lagi soalan yang membuatkan leher terasa bagai dijerut. Tidak tahu jawapan bagaimana yang mahu didengar kerana setiap jawapan yang diberi pasti mengundang pelbagai soalan lagi. 


Lazimnya juga, graduan ini dijangka akan mula bekerja di pejabat dan makan gaji. Tahun kedua bekerja, mereka dijangka memiliki sebuah kenderaan sendiri. Graduan juga dijangka akan kerja lebih masa kerana masih bujang dan tiada komitmen keluarga. Bila kerja lebih masa, kewangan mereka dijangka lebih kukuh dan meningkat. Itu jangkaan orang sekeliling. Itu kelaziman. 


Hal di atas adalah kelaziman dan umum menerimanya, itulah satu-satu jalan untuk mencapai kejayaan. Tetapi, jika mereka memilih jalan yang di luar kebiasaan seperti memulakan bisnes, banyak pula kata-kata tidak enak dilemparkan. Apatah lagi jika graduan tersebut masih belum berjaya atau tiba-tiba tersungkur dalam bidang tersebut, bertambah hebat kata-kata yg melukakan hati. Mengapa pilihan yang bukan kelaziman itu dilihat 'berdosa'? Mengapa tidak sokong saja?

Insya Allah topik ini akan saya kupas sedikit demi sedikit. Saya tinggalkan anda untuk berfikir seketika. Mengapa tidak sokong saja?



Wednesday, June 11, 2014

Tentang emosi dan perasaan

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Alhamdulillah dengan izin-Nya dapatlah saya bercuti seketika dan pulang ke Kelantan. Sungguh tak sangka, kali ini banyak betul halangan sebelum dapat menjejakkan kaki ke kampung halaman. Syukur, akhirnya sampai juga. 

Si kecil kelihatannya sangat gembira dapat pulang dan bertemu dengan atuk,nenek, ibu saudara, bapa saudara dan sepupu kecilnya yang seorang itu. Waktu pula terisi dengan lebih banyak senyuman, ketawa riang dan aktiviti gembira. Hati bahagia. 

Baru saja beberapa hari di kampung, Aariq nampaknya sudah boleh menuturkan banyak perkataan baru. Bahkan dapat menuturkan ayat lengkap yang lebih panjang dari sebelum ini. Saya gembira dan bersyukur. Emosi yang positif, perasaan gembira sebenarnya menyumbang besar dalam perkembangan mental dan fizikal. Saya yakin, kesihatan emosi menentukan kesihatan fizikal. Hati gembira buat fizikal kita gembira lalu kita menjadi lebih bertenaga, lebih terbuka dan lebih sihat. 

Saya teringat rutin saya setiap hari. Ketika pulang dari tempat kerja, wajiblah saya akan kepenatan sehinggakan memasak pun ala kadar sahaja. Tetapi apabila ibu bapa dan adik-adik bertandang, secara automatik rasa penat hilang dek terlalu gembira. Waktu malam pun masih rasa bertenaga. 

Saya nekad akan mengisi hari-hari mendatang dengan perasaan yang gembira. Kita usaha dan doa. Kerana dalam hari-hari itu pasti ada yang membuatkan kita berperasaan sebaliknya. Marilah sedaya upaya mencuba menjadi gembira dan terbuka. Marilah sedaya upaya membuatkan orang lain gembira dan terbuka.

Friday, June 6, 2014

Pakaian lama jangan dibuang!

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Sedih juga apabila mengasingkan pakaian lama yang masih elok tetapi sudah sendat untuk dipakai. Mungkin juga pakaian masih baru tetapi ada kecacatan kecil padanya. Sayu jika terpaksa buang begitu sahaja. Apatah lagi jika mempunyai kenangan indah seperti hadiah istimewa atau dibeli dengan gaji pertama saat mula bekerja dulu.

Pakaian lama jangan dibuang. Jangan dibazirkan. Jika tidak sesuai untuk disedekahkan, apa kata kita olah semula pakaian tersebut. Mengolah semula pakaian bermaksud memberi nafas baru kepada pakaian tersebut, samada ia masih berfungsi sebagai pakaian atau digunakan untuk fungsi lain. Sebelum kewujudan blog ini saya telah banyak mengolah semula pakaian tetapi tidak pula mengambil gambar dan merekodkannya di mana-mana. Alangkah rugi. Jika tidak, dapat berkongsi di sini. Jadi saya kongsikan sahaja gambar dari carian Google, bagi memberi sedikit gambaran tentang mengolah semula pakaian.



Pakaian lama diberi nafas baru. Mungkin pemilik dahulunya berbadan besar dan 
kini berjaya turunkan berat badan, siapa tahu?


Pakaian lelaki dijadikan pakaian wanita. 


Pakaian lelaki dijadikan pakaian kanak-kanak perempuan. Comel, bukan?


T-shirt lama yang diolah menjadi alas kaki. Hasilnya cantik dan kreatif


Berikut beberapa cadangan pakaian yang boleh diolah semula, bergantung pada imaginasi dan kreativiti anda! :

pakaian lama yang sudah out of fashion
- boleh diolah menjadi fesyen baru
- ditambah hiasan seperti manik, riben atau renda

pakaian baru yang ada kecacatan yang tidak boleh diperbaik
- boleh diolah menjadi pakaian si kecil
- digabungkan bersama pakaian lain menjadi sehelai pakaian baru
- diolah menjadi barangan rumah seperti alas kaki, alas meja kecil, hiasan dinding 

Hasil olahan di atas amat kreatif dan cantik, bukan? Dan sudah pasti tidak ada pembaziran. Jadi tidak ada sebab mengapa pakaian lama atau pakaian yang ada kecacatan perlu dibuang. Diharap anda mendapat sedikit gambaran dan idea bagaimana untuk mengolah pakaian. Anda hanya memerlukan sedikit imaginasi dan sedikit kreativiti. Jom kita olah sekarang!

Sunday, June 1, 2014

Halfmoon Shawl oleh Adored Wardrobe

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Seperti yang telah saya ceritakan dalam entri yang lepas, saya dan adik-adik telah berkongsi memulakan perniagaan pakaian casual wanita dan selendang atau shawl. Kali ini saya akan bercerita tentang produk custom-made kami buat masa sekarang iaitu Halfmoon Shawl. Shawl ini berukuran kira-kira 2.0m x 0.5m. Saiz ini cukup lebar dan panjang bagi menutupi bahagian dada. Ukuran yang panjang juga membolehkan pemakai menggayakannya dengan pelbagai gaya tanpa risaukan bahagian yang perlu ditutup. 

Material terdiri dari kain yang mudah terbentuk dan tidak jarang, serta selesa dan tidak panas. Kedua-dua hujung shawl ini dijahit dalam bentuk curve atau melengkung, menambah lagi kelainan dan keanggunan pemakai.

Di bawah ini saya paparkan warna-warna yang terdapat dalam koleksi kami. Harganya amatlah berpatutan bagi sehelai custom-made shawl, iaitu hanya RM20 sehelai tidak termasuk pos. Bagi pembelian 3 helai dan ke atas, anda layak menerima hadiah misteri dari pihak Adored Wardrobe!


Kod warna : 

1 - Fuschia (Sold out)
2 - Ruby 
3 - Dusty pink



Kod warna :
4 - Lilac
5 - Plum (Sold out)
6 - Navy

Kod warna :
7 - Daffodil
8 - Gray

Bentuk halfmoon shawl apabila digayakan, mempunyai kelainan dan 
keanggunan tersendiri, bukan?

* Warna asal mungkin sedikit berbeza dari gambar berdasarkan pencahayaan dan resolusi skrin anda

Warna-warnanya amat segar dan menaikkan seri pemakai. Shawl warna polos tanpa corak adalah versatil, evergreen dan tak lapuk dek trend, jadi anda boleh memakainya pada bila-bila masa di mana sahaja. Kadangkala tudung bercorak tidak semestinya sesuai untuk menghadiri majlis/acara formal seperti temuduga dan sebagainya. 

Jom hubungi saya di 012-945 4640 melalui Whatsapp atau Line, atau emelkan sahaja ke niknurulhanahanafi@gmail.com bagi membuat tempahan.

Selamat bergaya!

Di mana kita?

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi

Ahad, 1 Jun 2014. Sedar tak sedar kita sudahpun menginjak ke pertengahan tahun 2014. Terasa begitu cepat masa berlalu. Sudah pasti ramai yang sudahpun mencapai beberapa azam bagi yang mempunyai azam tahun baru pada Januari 2014 yang lepas. Tak kurang juga yang masih berusaha. Ada juga yang masih terkapai-kapai. Ada pula yang sudah lupa akan azam yang pernah membakar semangat pada awal tahun dahulu, dan kini sudah tinggal abu. 

Di mana kita pada hari ini? Saya bertanya soalan yang sama kepada diri sendiri. Sejauh mana yang telah saya terokai, sedalam mana yang telah saya gali, sebanyak mana yang saya telah dapati, sebanyak mana pula yang telah saya beri? 

Hari ini adalah anugerah Ilahi yang belum dicemari. Ia datang dengan keadaan indah berseri. Kadangkala kita sendiri yang cemari hari dengan rasa malas, lemah, bertangguh-tangguh, tidak redha, tidak berdoa, mahukan perhatian, memberi alasan lalu terjadilah hari yang moody dan gloomy.

Mari kaji semula pencapaian setengah tahun pertama ini. Panjatkan syukur atas kejayaan dan pencapaian. Panjatkan doa dan usaha lebih gigih untuk mencapai yang belum dicapai. Semoga yang diusahakan diredhai-Nya. Amin
 
Images by Freepik