Pages

Tuesday, April 15, 2014

Bismillahirrahmanirrahim

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


5 tahun membina kerjaya di sektor swasta sebagai seorang arkitek membuatkan saya seakan sebati dengan cabarannya. Saya seakan lupa dengan cita-cita asal hinggalah pada suatu hari saya terdetik, sampai bila mahu begini. Impian ingin bekerja sendiri tetapi langsung tidak membuat persediaan ke arah itu. Kesibukan kerja di pejabat dan kerja di rumah membuatkan saya hampir terlupa pada long term goals yang dicoretkan dan dicita-citakan sejak dari zaman belajar lagi. Kadangkala saya tertawa melihat coretan sendiri dan bertanya “Kenapa cita-cita aku ni banyak sangat. Susah nak capai semuanya”. Saya tertawa lagi, “Eh, belum berperang lagi sudah putus asa. Kalau begini, tak payah memasang cita-citalah”. Syukur saya tidak terus putus asa dengan cita-cita yang kadangkala saya sendiri ragu-ragu dengan kemampuan untuk mencapainya.

Lantaran dari detikan hati, saya mula mengatur strategi untuk melangkah. Saya perlu dapatkan nasihat dan tunjuk ajar, jika tidak saya pasti terumbang-ambing dalam angan-angan sendiri. Saya menghubungi Puan Kharunnnisa Hamzah, senior saya ketika belajar senibina di UTM dulu. Beliau merupakan seorang Work-At-Home-Mom atau singkatannya WAHM yang telah menempa nama setelah meninggalkan alam pekerjaan sebagai arkitek di jabatan kerajaan. Dari situ beliau mencadangkan saya mengikuti Bengkel BrandingYourself and Business Strategies yang beliau anjurkan, dan akan membantu meleraikan segala persoalan dan kekeliruan saya. ‘Perjalanan’ itu saya lihat sungguh mudah. Allah telah memudahkannya untuk saya, setelah memohon petunjuk dan mengadu pada-Nya berhari-hari lamanya.


Bengkel yang berlangsung sehari suntuk itu banyak membuka mata saya tentang ke mana hala tuju saya seterusnya dan apa langkah pertama yang harus saya lakukan. Bila disebut bisnes sahaja, orang beranggapan mesti berhenti kerja. Bukan. Langkah pertama ialah branding. Tanpa branding, orang tidak akan kenal siapa kita dan apa produk kita. Tanpa branding, produk yang bagus pun orang tidak akan beli. Dengarnya begitu senang namun jika dikupas mendalam ia sebenarnya agak rumit bagi saya dan memerlukan ilmu dan persediaan yang rapi. Saya mendoakan Allah memberi ilham kepada saya jalan yang terbaik buat saya, keluarga dan agama. Semoga Dia terus memberkahi setiap langkah. Semoga diri sentiasa cekal dan tabah. Semoga jauh dari prasangka dan perkara yang tidak munasabah.

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik