Pages

Wednesday, June 15, 2016

Tips Mudah Turunkan Berat Badan Dalam Bulan Puasa Tanpa Perlu Diet atau Senaman

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi




(Gambar dari Google)


Tengok tajuk macam gempak je kan? hehe. Saya nak kongsikan tips bagaimana saya berjaya turunkan berat sebanyak 7 kg pada bulan puasa yang lepas. 7 kg sahaja, taklah turun banyak seperti orang lain. Tapi bagi saya yang memang susah untuk turunkan hatta 1 kg pun, 7 kg adalah sangat banyak. Sepanjang Ramadhan lepas, saya tak senaman berat, cuma buat 'plank' saja sekali sekala bila rajin hehe.


Tipsnya mudah saja, iaitu saya cuma makan sewaktu berbuka dan sahur sahaja. Mudah kan? Faham ke faham? hehe. Ini bermakna, tiada moreh, tiada kuih-muih, tiada colek (popular sgt di Kelantan), tiada lepak minum sampai pagi. Dari waktu berbuka hingga saya tidur, saya banyakkan minum air masak. Bergelas-gelas! Bila dah minum air masak banyak-banyak, memang kita rasa kenyang dan kurang selera dah nak makan kuih yang manis-manis tu.

Makanan manis adalah punca berat tak turun (sebaliknya berat naik) secara kita tak sedar. Jika teringin sangat kuih-muih yang sedap tu (sedap di mulut sahaja, bahaya di perut hehe), saya cuma makan sebiji dua untuk hilangkan rasa kempunan. Selain itu, jika mulut teringin yang manis-manis, saya makan kurma. Saya suka Bam dates yang lembut tu. Makanlah kurma berapa banyak sampai hilang 'sweet tooth' kamu itu. Di sini disiplin sangatlah penting. Perlu kuatkan diri dan hati, maklum sajalah bulan puasa di negara kita ni adakalanya seperti pesta makanan pula. Makanan yang tak dijual pada bulan lain, ada dijual pada bulan puasa. Istimewa sangat kan, membuatkan kita rasa rugi jika terlepas peluang untuk MAKAN. Teringat saudara kita di Syria. Mereka bukan saja tak mampu nak buka puasa sedap-sedap, nak sahur pun takde makanan. Allahu. Insaf.





Gambar : Seorang NGO mengagihkan makanan berbuka kepada rakyat Syria di Aleppo, 11 Jun 2016.

Sumber : http://www.huffingtonpost.com/

Tuesday, June 14, 2016

Ramadhan Bulan Rahmat

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Diam tak diam sudah lebih setahun saya tidak menulis di sini. Saban hari saya menulis juga cuma di medium yang lain. Tambahan pula sekarang bergelar pelajar siswazah, mahu tak mahu kenalah juga paksa diri untuk menulis walau sepotong ayat. Saya akui, saya tidak pandai bermain kata. Sukar sekali bagi saya walau untuk menulis sepotong ayat yang memberi impak. Sukar. Apatah lagi mahu membina ayat ilmiah untuk penulisan saintifik. Jemari kelihatan lincah menekan-nekan huruf di keyboard, beberapa minit kemudian lincah pula menekan butang backspace. Itulah saya hehe.



Syukur hari ini diberi ilham oleh Allah untuk 'menyapu sawang' di blog ini. Hari ini 14 Jun 2016, sudah 9 hari umat Islam di Malaysia berpuasa pada tahun 1437H. Sudah habis sepertiga Ramadhan. Hari ini saya imbas kembali amalan yang saya sempat lakukan. Pilu rasa hati. Tak sepadan dengan peluang yang Allah berikan. Banyak sudah perkongsian di laman sosial tentang amalan di bulan Ramadhan seperti target untuk khatam alQuran, zikir tertentu, dan bermacam lagi. Mudah sekali zaman ini kita nak tambah ilmu. Tapi itulah, kita orang perempuan ni seakan berganda-ganda sibuknya di bulan Ramadhan. Memang sudah sedia sibuk dengan urusan harian, malah ditambah pula sibuk dengan tempahan raya, memikirkan juadah berbuka (jika masak yang simple dan biasa dimasak nanti keluarga komplen pula huhu) dan ada yang sibuk berniaga. Maklum sajalah, bulan Ramadhan ni luar biasa, rezeki mudah sangat masuk (dengan syarat tak goyang kaki lah hehe). Bila dah sibuk dengan macam-macam urusan, amal ibadah pun kadangkala entah ke mana. Tambahan bila kita orang perempuan ni ada keistimewaan Allah beri cuti. Kena berganda juga usaha untuk 'catch-up' dengan target amalan, misalnya target untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadhan.



Allah limpahkan rahmat-Nya di bulan Ramadhan ni. Bahkan orang yang berpuasa lebih mustajab doanya dari yang tidak berpuasa. Di samping itu juga, terdapat beberapa waktu paling mustajab yang kita boleh ambil peluang untuk berdoa seperti waktu sebelum berbuka puasa. Ambil masa sekejap sebelum menjamah kurma untuk berdoa kepada Allah. Begitu juga sewaktu menjelang sahur. Sayangnya Allah pada kita. Maka nikmat manakah yang kita dustakan?

Friday, December 18, 2015

Setahun berlalu : Tengkujuh tiba lagi

Assalamualaikum readers.

Sedar tak sedar dah hampir setahun tak menulis. Terasa macam sekejap saja dah nak habis setahun. Sudah tentulah banyak sangat yang dah berlaku dalam tempoh masa setahun ni. Dan seperti setiap kali tiba tahun baru, sibuklah saya dengan perancangan tahun baru. Tidak pernah sudah dengan perancangan untuk diri dan keluarga. Cuma kali ini amat berbeza kerana lebih banyak perkara besar yang perlu saya ambil kira sebelum melangkah ke tahun baru. Perkara ini melibatkan perubahan 360 darjah bagi kami sekeluarga, lebih-lebih lagi bagi diri saya. With Allah's willing, if I take the opportunity, Yes, it's going to be a massive change for me. Dalam keterujaan, tersemat sedikit keraguan. Ragu-ragu dengan kebolehan dan kemampuan diri. Juga ada sedikit kerisauan dengan tempat baru yang bakal didiami. Segalanya adalah berbeza. Paling dirisaukan ialah penerimaan anak-anak. Juga risau dengan kos dan cara hidup serta budaya di sana. Mampukah bertahan dengan cuacanya juga?

Semasa menulis entri ini, hujan mencurah-curah di bumi Pasir Mas ini. Langit kelabu sejak semalam. Kadangkala halus titisnya kadangkala berat. Tengkujuh tiba lagi. Topik popular pada musim ini ialah kadar hujan dan paras air sungai. Masing-masing menyuarakan kebimbangan tentang banjir sambil mengenang kembali dugaan besar pada tahun lepas buat penduduk Kelantan khasnya. 

"Allahumma soyyiban nafi'a". Mari memanjatkan doa pada-Nya tatkala hujan iaitu antara waktu mustajab untuk memohon rahmat dari-Nya. Mohonlah apa saja. Mohon seikhlas hati. Mohon dengan yakin dan rendah diri. "Mohonlah padaKu, nescaya Aku perkenankan" (Surah Al-Ghaafir ayat 60)

Saturday, January 10, 2015

Bah kuning Disember 2014

Teks: Nik Nurul Hana binti Hanafi




Banjir pergi. 
Bukan setakat meninggalkan lumpur dan daki. 
Banjir ini memahat kenangan dan luka terburuk barangkali. 
Banjir ini membawa pergi tempat berteduh, kenderaan, lembu, itik dan serati. 
Di sana sini doa tidak henti-henti agar kentalnya hati. 
Bergantung harap hanya pada Yang Maha Mengetahui. 
Al-fatihah dan doa dititip kepada jasad yang di bumi namun jiwanya dijemput Ilahi.
Kita yang di sini mahukah mengubah diri. 
Kerana kita telah diuji. 
Dan kita sentiasa diperhati.
Ya Rabb ampunkanlah kami.

Monday, January 5, 2015

Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 4) - Peralatan untuktidur

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi

Semasa anak pertama dahulu, saya memilih untuk co-sleeping dengan anak saya iaitu dengan tidur dengan anak di atas katil saya. Cara ini lebih menjimatkan masa dan tenaga terutama tatkala bayi bangun di tengah malam untuk menyusu. Jika bayi tidur di katilnya sendiri, ibu perlu bangun dari katil ibu, berjalan ke katil bayi, tunduk untuk mengangkat bayi, dan seterusnya kembali ke katil ibu atau duduk di kerusi untuk menyusukan bayi. Betapa banyak masa dan tenaga telah terbazir di situ. Lagipun bagi ibu yang bersalin melalui pembedahan, pergerakan sebegini haruslah dikurangkan dahulu. 

Berikut adalah cadangan keperluan asas bagi barangan tidur bayi :
1) set tilam dan bantal berserta sarungnya (kekabu atau fiber)
2) kelambu bayi
3) selimut/quilt (optional)

Set tilam dan bantal
Sekarang terdapat banyak pilihan tilam bayi di pasaran. Ada yang diperbuat dari fiber (seperti isi teddy bear) dan ada yang diperbuat dari kekabu. Pastikan ibu memilih sarung dari fabrik kapas atau cotton supaya tidak panas.  Saya lebih gemarkan tilam kekabu kerana tahan lama dan tidak panas. Ketika anak pertama dulu saya menempah tilam kekabu yang berukuran seperti katil bayi. Kebetulan katil bayi yang dibeli tidak didatangkan dengan tilam. Jadi tilam kekabu yang ditempah ini selain digunakan untuk co-sleeping semasa pantang, boleh juga diguna untuk katil bila bayi sudah agak besar. Mudah dan jimat ;)

Contoh set tilam kekabu. (Sumber : Google)




Petua dan tips halau nyamuk
Berdasarkan pengalaman lepas, semasa bangun menyusukan bayi di tengah malam, nyamuk datang berlegar-legar mengerumuni bayi. Setakat ini saya telah mencuba beberapa cara selamat atau petua menghalau nyamuk. Cara pertama saya mencuba 'mosquito patch' iaitu sejenis 'repellent' berbentuk pelekat yang dilekatkan di baju bayi. Pelekat ini mempunyai bau seakan serai wangi yang dikatakan dapat menghalau nyamuk. Boleh didapati dengan pelbagai jenama di pelbagai farmasi seperti Watson serta di pasaraya. 

Saya juga pernah mencuba cara natural iaitu menggunakan limau nipis dan bunga cengkih. Caranya mudah saja, potong limau kepada dua bahagian, cucukkan bunga cengkih memenuhi isi limau dan letakkan berhampiran tempat tidur. Insya Allah nyamuk tak datang dekat. Cara ini berkesan dalam 2 ke 3 hari saja sementara limau masih segar. Apabila limau sudah kecut atau kering ia sudah tidak berkesan lagi dan perlu ditukarkan dengan yang baru.

Walaupun cara-cara di atas hanya menghalau dan tidak membunuh nyamuk tapi bagi saya, cara ini lebih selamat dari menggunakan penyembur aerosol atau menggunakan elektrik terutama dengan kehadiran bayi. 

Thursday, December 18, 2014

Musim Tengkujuh di Kelantan

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Jam 9 pagi. Langit kelihatan kelabu, suasana hening saja. Tiada kicau burung, tiada deru kereta pun. Yang kedengaran cuma titisan hujan yang semakin besar saiznya dan semakin kasar bunyinya. Hujan rahmat masih tidak berhenti sejak beberapa hari, banyak kawasan di Kelantan  yang sudah dinaiki air. Sayu melihat mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman dan menetap di pusat pemindahan banjir. Kasihan melihat anak kecil dan warga emas yang kesejukan. Pilu melihat ibu sarat mengandung mengharung air. Saya doakan urusan mereka yang terpaksa berpindah dipermudahkan oleh-Nya. Semoga mereka kuat dan cekal serta dijauhkan dari sebarang penyakit bawaan banjir. 

Lebih menyayat hati, sehingga hari ini (18/12/2014) banjir di Kelantan dilaporkan telah meragut 2 nyawa iaitu seorang pemuda dan seorang bayi berumur setahun lebih yang terlepas dari dukungan ibunya tatkala ibunya ingin menyelamatkan tiga lagi anaknya dari arus deras. Ya Allah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya doa yang mampu dititipkan buat mangsa dan keluarganya. Allah lebih menyayangi mereka.  Sedih hati saya melihat berita di akhbar walaupun tidak mengenali mangsa. Al-fatihah buat mereka. 



Sunday, December 7, 2014

Review produk : Qaseh Gold Adinda

Teks : Nik Nurul Hana Hanafi 

Assalamualaikum. Hari ini hari ke-37 saya berpantang selepas melahirkan anak kedua saya. Berpantang kali ini banyak bezanya dengan pengalaman berpantang ketika anak pertama 3 tahun yang lepas. Perkara yang paling ketara ialah kesihatan dan kesegaran tubuh badan. Walaupun saya merasa perbezaannya, tidaklah pula saya memberitahu sesiapa. sehinggalah ibu saya sendiri menegur dan memberitahu yang dia perasan saya lebih bertenaga dan lebih 'sihat' selepas melahirkan anak kedua, berbanding dengan kelahiran pertama dulu. 

Hakikatnya, selepas melahirkan anak pertama dulu saya mengambil beberapa jenis supplemen juga. Semuanya berbentuk cecair dari jenama yang terkenal dan mencecah ratusan ringgit juga.  Bukanlah saya kelihatan lemah tidak bermaya ketika itu, cuma kata ibu, kali ini saya kelihatan lebih cergas dan bertenaga. Saya tertawa. Mungkin juga disebabkan saya berasa lega kerana sudah melahirkan anak. Mungkin juga sebab tidak melalui proses kelahiran yang lama. 

Apapun, berpantang kali ni saya memilih untuk tidak membeli supplemen yang sama. Cuma makanan tambahan yang saya ambil ketika mengandung anak kedua dan diteruskan ketika berpantang, sangat membantu saya supaya berasa cergas dan bertenaga. Saya mengambil  Qaseh Gold Adinda secara konsisten setiap pagi dan malam berserta doa dan tawakal kepada Allah. Alhamdulillah saya berasa lebih bertenaga dan kurang letih. Kalau tidak letih tu tipulah, sebab bayi menyusu kerap dan lama, nak melayan karenah si abang yang inginkan perhatian lagi (biasalah perangai bila dah ada adik), nak jaga diri sendiri lagi. Memang letih, walaupun banyak tenaga digunakan tapi saya tidaklah lemah dan cepat letih.  Saya juga rasa lebih rileks dan tenang. Insya Allah, bila hati rileks dan positif, susu pun jadi banyak, badan juga cepat sembuh.

Qaseh Gold Adinda terdiri dari beberapa makanan sunnah termasuk madu, kurma, air zam zam dan lain-lain. Rasanya manis seperti madu, teksturnya likat seperti madu juga. Bolehlah membuat carian dengan lebih terperinci tentang khasiat dan kandungannya di Google ya. Saya cuma ingin berkongsi dengan pembaca tentang kebaikan dan keberkesanannya kepada saya, dengan harapan lebih ramai lagi umat Islam kembali mengamalkan makanan sunnah. Apapun, yang menyembuhkan dan memberi kesihatan kepada kita ialah Allah jua, kita sebagai hambaNya diminta berikhtiar dan berdoa. Moga kita semua diberi kesembuhan dan kesihatan yang berpanjangan. Amin.






Saturday, December 6, 2014

Hari indah dan berpantang

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Langit berwarna biru hari ini. Kepulan awan tinggi penghias kanvas. Indah. Syukur di atas cuaca  dan cahaya yang menerangi. Pada tahun lalu, pada waktu ini biasanya langit berwarna kelabu. Tiada awan. Berhari-hari lamanya bumi basah. Tapi Langit kelabu juga indah. Hujan mencurah memberi rahmah. Tahun itu Monsun tiba seperti biasa. Namun kali ini aturcaranya sedikit berbeza. Kita boleh meramal awan dan warna langit, tapi Dia juga yang menentukannya.


Semasa entri ini ditulis, si kecil baru sahaja lena diulit mimpi setelah tidurnya terganggu beberapa kali. Syukur hari ini sudah 36 hari dia melihat dunia. Bermakna berbaki 4 hari sahaja lagi untuk saya menghabiskan tempoh berpantang. Ya, 40 hari sahaja kami orang-orang Kelantan berpantang. Jangan ditanya kenapa. Saya juga tidak tahu kenapa 40 hari sahaja dan bukan 44 hari seperti yang biasa disebut-sebut.  Sejak dari nenek moyang lagi sudah dipraktikkan tempoh berpantang 40 hari, Saya hanya menurut sahaja. 

Rindu ingin menulis. Namun masa dan tenaga amatlah terbatas. Bila ada masa, sudah terlalu penat dan ingin berehat. Bila bertenaga pula, masa perlu diarahkan ke urusan lain yang lebih penting. Penat sebenarnya bila melahirkan dan berpantang. Diri perlu dijaga dan dirawat, anak- anak juga perlu dijaga. Apatah lagi jika bayi kuat menyusu dan ibu pula harus mengejar masa membuat stok EBM sebagai persediaan mula bekerja nanti.

Si kecil saya lahir 2 minggu lebih awal dari EDD nya. Sangka saya, mungkin awal seminggu seperti abangnya. Ada beberapa barang yang tak sempat saya sediakan sebelum bersalin. Entri tentang persediaan menyambut kelahiran bayi juga tak sempat disiapkan hehe. Insya Allah saya akan siapkan juga nanti. Harap dapatlah curi-curi masa sekejap untuk menaip. Sejak menjadi ibu beranak dua ni, segalanya terbatas lebih-lebih lagi masa dan tenaga. Bagaimanalah nanti bila anak sudah 3,4 dan lebih lagi? Sungguh hebat ibu-ibu di luar sana yang menjaga sendiri anak-anak mereka.



Gambar halaman rumah pun diambil dari tingkap sahaja. Maklumlah, orang berpantang tak dibenarkan keluar rumah kecuali nak ke hospital sahaja. Hehe

Wednesday, November 12, 2014

Tutorial : Topi untuk 'newborn'

Teks: Nik Nurul Hana binti Hanafi


Topi penutup kepala adalah salah satu pakaian yang mesti ada bagi melindungi kepala bayi baru lahir yang sememangnya masih lembut dan perlulah dilindungi selalu, terutamanya jika keluar membawa bayi ke klinik dan sebagainya. Kepala bayi yang baru dicukur juga perlu ditutup bagi mengelakkan selsema. Di sini saya kongsikan tutorial topi yang telah saya jahit sebagai persiapan menyambut kelahiran bayi kedua. Membuatnya amat mudah, ibu (atau bapa) tidak perlukan skil menjahit yang tinggi pun. 

Alatan yang diperlukan
Kain jenis 'knit cotton'
Benang 
Gunting
Pita ukur
Jarum peniti
Topi untuk dijadikan contoh ukuran

Langkah-langkah

1. Bentangkan dua lapisan kain knit cotton dengan bahagian luar menghadap ke dalam. Kemudian tekapkan dengan topi contoh dengan melebihkan 0.5 inci untuk basi.

2. Masih lagi dibentangkan dengan dua lapisan, ukur sekeping lagi kain sepanjang 6 inci dengan lebar yang sama dengan topi. Kemudian potong mengikut ukuran. Anda akan mendapat 2 kepingan kain seperti di bawah. Bagi mengelakkan kekeliruan, kita namakan kepingan yang melengkung sebagai Kepingan 1 dan kepingan segi empat sebagai Kepingan 2.


3. Seterusnya, dengan menggunakan mesin jahit lurus atau mesin jahit tepi, cantumkan di bahagian melengkung di Kepingan 1 serta cantumkan juga di bahagian kanan Kepingan 2 (iaitu bahagian yang tidak bercantum), seperti gambar di bawah.



4. Dengan bahagian berjahit di sebelah dalam, lipatkan Kepingan 2 seperti gambar di bawah.



5. Kemudian masukkan Kepingan 2 ke dalam Kepingan 1 dengan memastikan bahagian yang tidak bercantum antara kedua-dua Kepingan bertemu. Pastikan bahagian berjahit Kepingan 1 masih lagi berada di luar.



6. Pinkan bahagian yang tidak bercantum di kedua-dua kepingan supaya kemas dan mudah diurus. Gambar di bawah menunjukkan Kepingan 2 berada di dalam Kepingan 1.



7.  Kemudian jahit @ cantumkan bahagian yang dipinkan tadi. Terbalikkan topi dan keluarkan Kepingan 2 dari dalam Kepingan 1, lalu anda akan mendapat topi seperti di bawah. 


8. Lipatkan bahagian bawah topi menghala ke atas kira-kira 3/4 dr panjangnya, atau sehingga menutupi bahagian cantuman. Topi yang telah siap akan kelihatan seperti gambar di bawah.


9. Bahagian cantuman tidak kelihatan di bahagian luar topi. Kemaskan mengikut kesukaan dan bolehlah dijahit sedikit di bahagian bawah topi supaya ia lebih terletak.


Topi bayi sudahpun siap! Diharap tutorial di atas dapat membantu ibu (atau bapa) yang berhajat menjahit sendiri topi bayi. Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan, boleh tinggalkan komen di bawah atau boleh emelkan sahaja ke niknurulhanahanafi@gmail.com. Selamat mencuba! 




Wednesday, October 29, 2014

Sambungan Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 3) -Keperluan Menyusu

Teks : Nik Nurul Hana Hanafi


Salam subuh buat pembaca sekalian. Syukur masih diberi kesempatan untuk menikmati suasana subuh hari yang dingin dan hening yang pasti mengujakan jiwa. Dari kejauhan kedengaran sayup-sayup alunan zikir dan al-Quran dari masjid dan surau. Tenang rasanya, SubhanAllah.

Usai menunaikan kewajipan pada-Nya dan amalan sunat sebagai pelengkap, kini saya beralih kepada tugas sesama manusia pula. Entri ini adalah sambungan dari Senarai Dan Tips Keperluan Barangan Bayi (Bahagian 3) yang menyenaraikan peralatan penyusuan untuk ibu. Boleh klik link di atas untuk info awal. Di bawah ini saya insya Allah saya akan huraikan serba sedikit tentang keperluan peralatan bagi menjayakan penyusuan susu ibu. Senarai berikut adalah sebagai panduan bagi memudahkan ibu sahaja. Keperluan barangan ini juga bergantung pada cara hidup dan kemampuan ibu juga
  • Breast pump (item wajib bagi ibu bekerja. Bagi suri pula, bergantung kepada keperluan)
  • Breast pad (terdapat pilihan washable dan disposable)
  • Nipple cream (bagi merawat Miss N yang melecet)
  • Nursing pillow
  • Nursing bra (memudahkan penyusuan dan mengepam di pejabat)
  • Milk storage (pilihan di pasaran adalah plastic storage dan bottle storage)
  • Botol susu & puting (untuk mengisi susu perahan ke rumah pengasuh atau taska)
  • Bottle warmer (memanaskan susu ibu dari peti ais)
  • Pencuci khas untuk botol susu
  • Berus botol susu
  • Drying rack @ bekas untuk menyimpan botol yang telah dicuci
  • Sterilizer - untuk mensteril botol dan puting susu
Tips dan perkongsian 

1) Breast pump (BP) 
Jika ibu benar-benar serius mahu menjayakan penyusuan susu ibu, BP adalah item yang SANGAT PENTING! Pemilihan BP bergantung pada banyak faktor. Antaranya ialah
  • Fungsi (single atau double pump)
  • Sistem (pam elektrik atau pam manual)
  • Kos
  • Saiz @ berat
  • Spare part @ alat ganti
  • Waranti
  • Bunyi motor 
  • After sale service
Terdapat banyak pilihan BP yang membuatkan ibu perlu membuat banyak research bagi mencari BP yang paling sesuai dengan keperluan dan kemampuan diri masing-masing. Tidak semestinya yang mahal sesuai untuk semua orang. Saya telah memilih BP double pump jenama Malish iaitu model Ilaria berdasarkan feedback dan review positif di internet. Lama juga saya buat kajian. Kriteria pertama saya dalam memilih BP ialah harga (mestilah bawah RM500), seterusnya ialah faktor double pump,tahan lasak dan berat serta bunyi. Syukurlah ada juga BP yang menepati kehendak dan kemampuan saya. Insya Allah bila saya dah gunakan BP ini, saya akan berkongsi pengalaman menggunakan BP Malish Ilaria ini bagi membantu ibu membuat pilihan dan perbandingan. 

Biasanya BP kini didatangkan dengan pakej dan pelbagai hadiah dan tawaran, jadi buatlah jadual perbandingan antara BP pilihan serta penjualnya sekali. Saya cadangkan ibu menjenguk ke page berikut bagi menambah ilmu dan membuat research tentang BP yang bersesuaian dgn diri masing-masing :


2) Breast Pad 
Ia berfungsi menyerap lelehan susu ibu supaya tidak membasahi bra dan baju. Sungguh tak selesa jika bra dan baju basah dek susu, tambahan pula jika tidak ditukar segera, baju akan berbau masam. Amat leceh jika ingin menukar baju setiap 3 jam. Breast pad terdapat dalam dua jenis iaitu washable dan disposable atau pakai buang. Pilihan jenama pula sangatlah banyak, ibu perlu membuat sedikit research tentang tahap penyerapan, kuantiti dan harga juga. Di awal berpantang, bolehlah gunakan jenis disposable untuk jimat masa dan tenaga. Kemudian bolehlah gunakan jenis washable untuk lebih jimat dan mesra alam juga.



Washable breast pad jenama Autumnz. Kalau tak silap ada 6 pilihan warna semuanya.
(sumber gambar : Google)

Saya telah membeli kedua-dua jenis breast pad iaitu washable dan disposable dr jenama yang sama iaitu Autumnz.  Breast pad washable Autumnz mempunyai design dan pilihan warna menarik. Berbentuk 'curve', ia dilapisi bahagian lembut di dalam dan bahagian 'lace' di luar. Harga pasaran ialah RM15.90 bagi 3 pasang tetapi saya membelinya dengan harga RM14 sahaja di Marissa Shoppe. Boleh 'follow' FB atau Instagram mereka untuk promo dan diskaun barangan. Breast pad disposable pula saya beli online di One Baby World. Sekotak ada 30 keping, setiap pad diletakkan dalam satu paket berasingan. Cara ini lebih praktikal kerana tidak semestinya kita harus menukar breast pad sepasang pada satu masa. Ada juga jenama lain yang meletakkan 2 pad dalam satu paket. Apapun saya masih belum dapat berkongsi keberkesanannya kerana masih belum menjadi pengguna. Namun hasil dari blogwalking, saya dapat simpulkan disposable breast bad ini dalam kategori praktikal dan 'value for money'.





Kepingan Disposable breast pad jenama Autumnz yang diletakkan dalam paket berasingan.

Cantik pula DIY breast pad hasil perkongsian ibu di luar negara seperti di atas ini. 
Sangat kreatif dan menjimatkan. Teringin juga membuatnya. (Sumber gambar : Google)


3) Nipple Cream
Ketika anak pertama dulu saya ragu-ragu akan keperluannya. Saya sangka saya boleh juga cuba cara 'home remedy'. Memang benar 'home remedy' berkesan tapi cara ini mengambil masa yang sangat lama, kadangkala 2 hari lamanya untuk menyembuhkan Miss N yg melecet. Sampai satu ketika saya tidak sanggup mengepam susu kerana sakitnya amat perit. Bila anak menyusu pula saya tahankan saja dan hampir menangis akibat terlalu sakit. Miss N melecet memang selalu terjadi atas banyak faktor. Jadi kali ini, saya membeli nipple cream Purelan dari Medela atas saranan rakan-rakan dan juga berdasarkan review positif di internet. Krim ini selamat dan berkesan dengan cepat, tidak perlu dicuci jika bayi ingin menyusu. Ia juga boleh digunakan untuk kulit kering. Saya disarankan membeli tiub kecil sahaja kerana ia sudah memadai. Harap ia bermanfaat buat saya ketika berpantang nanti. Harganya RM29 bagi tiub bersaiz 7g.

Nipple cream jenama Medela bersaiz 7g.


4) Nursing pillow 
Bantal yang berbentuk 'C' ini (atau U?) diletakkan di bahagian pinggang ibu bagi mengampu lengan ibu semasa hendak menyusukan bayi. Bagi saya, bantal ini amat membantu dalam mengurangkan lenguh atau sakit badan semasa menyusu terutama ketika di dalam pantang, maklum sajalah bayi biasanya menyusu dengan agak lama. Selain itu, bantal ini juga boleh digunakan untuk mengampu belakang bagi bayi yang sudah boleh duduk. Saya gunakan bantal ini untuk mengampu belakang anak pertama ketika menyuapkan makanan. Memang tidak rugi membeli bantal ini kerana ia amat versatil dan fleksibel serta tidak terhad pada satu penggunaan sahaja. 

Harganya pula berbeza-beza, boleh didapati dari harga RM50-RM80 bergantung pada jenama di pasaran mahupun jenis custom-made yang diisi kekabu. 3 tahun lepas saya membeli jenama Baby Love dengan harga asal RM79.90 tetapi selepas diskaun harganya sekitar RM65. Secara peribadi, jika sempat membuat pilihan, tentu saya memilih bantal kekabu.



Nursing pillow yang dibeli pada tahun 2011 diberi nafas baru dengan sarung yang baru.

Contoh cara penggunaan nursing pillow. (Sumber gambar : Google)

5) Nursing Bra
Soalan pertama yang terbit di fikiran tentang nursing bra ialah, adakah saiz yang perlu dibeli sama dengan saiz bra yang biasa dipakai? Selepas membuat sedikit kajian dan pertanyaan, ramai yang sependapat bahawa ibu-ibu perlu menunggu hingga ke trimester ketiga atau seeloknya 35 minggu ke atas untuk mengetahui saiz yang sesuai kerana payudara akan berubah saiz ketika awal kehamilan hinggalah kelahiran bayi. Saya hanya sempat membeli 2 helai nursing bra di kedai dan 6 helai lagi saya beli secara online di One Baby World yang kebetulannya mempunyai promosi menarik untuk nursing bra. Perlu diingatkan juga, jenama berbeza mempunyai 'cutting' atau potongan berbeza juga. Contohnya saiz 36B bagi jenama A kadangkala sangat berbeza saiznya dengan jenama B dan C. Saya memilih jenama Adora dan Autumnz dan setakat ini kedua-duanya selesa dipakai. 

6) EBM (Expressed Breast Milk) Storage
Merupakan item yang penting juga selain breast pump yang berfungsi menyimpan susu perahan. Di pasaran biasanya terdapat dua jenis, iaitu dalam bentuk botol susu (yang tiada puting) dan plastik simpanan. 

Saya membeli storage bottle dan plastic storage jenama Jingle Jungle kerana kebetulan Marissa Shoppe ada membuat promosi untuk jenama ini. Botol simpanan saya beli dengan harga RM25 untuk 10 botol. Harga asal ialah RM39.90.

Manakala plastik simpanan pula dibeli dengan harga RM27 untuk 3 kotak, tetapi perlu membeli minimum 3 kotak untuk mendapat promo ini. Sekotak mempunyai 25 plastik bersaiz 7oz. Harga asal untuk plastik ini ialah RM14.90 sekotak. Memang murah dan berbaloi, cuma haruslah rajin menjenguk FB dan Instagram mereka untuk barangan yang ditawarkan promosi.


7) Bottle warmer 
Item ini boleh dibeli kemudian, apabila ibu sudah bersedia untuk mula bekerja. Rata-rata ibu hanya membeli sebuah bottle warmer untuk diletakkan di taska atau rumah pengasuh bagi memudahkan penjaga memanaskan EBM untuk diberi kepada bayi. EBM tidak boleh dididihkan atau dipanaskan dengan microwave, kerana nutriennya akan hilang.

Kebanyakan kedai/penjual barangan bayi selalu membuat kombo jualan bottle warmer dan sterilizer. Kombo begini lebih murah berbanding dibeli berasingan. Saya bercadang membelinya selepas pantang, dan research juga perlu bagi memastikan saya mendapat harga yang paling berbaloi dan sesuai dengan kemampuan. Berikut beberapa contoh bottle warmer yang terdapat di pasaran :

(Sumber gambar : Google)


Akhir sekali selepas menyediakan peralatan menyusu ini, jangan kita lupa berdoa dan memohon dari Allah yang Maha Pemberi Rezeki agar dipermudahkan urusan kita dalam penyusuan, dan diberikan rezeki susu ibu yang melimpah-ruah untuk anak. Saya doakan perjuangan kita sebagai ibu dirahmati oleh-Nya. Amin.

 
Images by Freepik