Pages

Thursday, May 29, 2014

Hikmah

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Sudah beberapa hari  saya mengambil cuti sakit kerana kesihatan tidak mengizinkan untuk bekerja. Saya mengambil peluang ini untuk rehat secukupnya. Walaupun begitu tatkala berbaring di katil fikiran mula menerawang dan berfikir, terutamanya tentang masa depan. 
Sungguh, bila disebut masa depan sahaja saya merasa gusar. Masih sedikit bekalan diri ini, bekalan dunia untuk diri dan keluarga serta ibu bapa mahupun bekalan diri sendiri untuk akhirat. Kerdilnya diri ini. Betapa Allah tarik sedikit sahaja nikmat sihat, sudah tidak mampu ke tempat kerja. Bukan itu sahaja, bakul pakaian kotor pun hampir penuh, pakaian bersih pula masih tidak terlipat, memasak jauh sekali. Si kecil pula tiba-tiba sahaja saya lihat sudah membesar dengan cepat. Makin banyak perkataan yang dituturkan. Semua ini berlaku ketika saya sibuk melayan diri yang tidak bermaya. 

Dalam beberapa hari itu juga saya memaksa diri sedikit untuk bangun menguruskan rumah. Suami sudah berpesan supaya saya berehat sahaja, tidak perlu fikirkan kerja rumah yang bertimbun. Tapi saya sebenarnya bosan hanya terbaring tidak buat apa-apa. Tatkala inilah si kecil yang baru bangun dari tidur melihat mommy ada di rumah, lantas menangis tidak mahu ke rumah pengasuh dan mahu 'duduk dengan mommy' katanya. Tak sampai hati pula melihat dia menangis walaupun diri sendiri sebenarnya masih tak larat.

Sepanjang beberapa hari itu jugalah saya memperuntukkan masa untuk berbual dan bermain dengan si kecil, dan saya lihat dia kelihatan lebih gembira berada di rumah. Saya juga berasa bahagia melihat perkembangannya di depan mata, hampir terlupa diri yang tidak sihat. Alangkah indahnya jika saya terus saja bercuti sampai bila-bila. Alangkah indah jika kita sendiri yang tentukan masa kita tanpa kongkongan dan terikat dengan orang. 

Perkara yang paling melucukan tapi dalam hati kecil sebenarnya berasa bangga ialah apabila si kecil banyak kali tersasul memanggil daddynya sebagai mommy hehe. Iyalah, seharian bermain dan berbual bersama mommy di rumah, sudah pastilah perkataan mommy lebih kerap disebutnya. Menjadi impian setiap ibu untuk melihat anaknya membesar di depan mata, dan masing-masing ada cara tersendiri untuk merealisasikannya. 

Saya bersyukur Allah beri peluang merasa kegembiraan ini kepada saya. Ia membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Kita merungut apabila nikmat ditarik sekejap tapi sebenarnya Dia mahu beri sesuatu yang lebih baik kepada kita. Subhanallah, kerdilnya diri ini.

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik