Pages

Thursday, May 29, 2014

Pengenalan diri

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Selepas 10 entri nampaknya baru penulis nak memperkenalkan diri. Takpelah, orang kata 'better late than never'. Saya diberi nama Nik Nurul Hana Binti Hanafi. Dilahirkan dan dibesarkan di Kelantan sehinggalah mendapat tawaran ke matrikulasi di KYPM Bangi, barulah 'berpisah' dengan keluarga. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke bidang Senibina di UTM Skudai. Makin lama makin jauh dengan keluarga, namun jauh dari segi jarak sahaja. 5 tahun bertungkus lumus akhirnya dengan izin Allah berjaya juga mendapat segulung ijazah yang diidamkan. Lalu bermulalah episod baru dalam kehidupan.

Memulakan kerjaya sebagai seorang arkitek di salah sebuah firma swasta di Kuala Lumpur pada 2009. Dari situ banyak pengalaman baru ditempa. Bila bekerja barulah merasa 'the real life of an architect'. Syukur diberi peluang mengendalikan pelbagai jenis projek, bagi saya semua itu merupakan ilmu dan pengalaman yang sangat berharga. Projek-projek kecil sehinggalah projek yang bernilai ratusan juta ringgit, cabarannya sangat berbeza sehingga kadangkala melunturkan semangat jiwa. Namun saya melihat cabaran pada setiap projek sebagai peluang untuk saya perbaiki diri dan menambah ilmu serta nilai diri sehingga mengutuhkan jiwa. Saya turut membantu memberi cadangan rekaan kepada keluarga dan saudara-mara yang ingin membina kediaman sendiri dengan menyediakan plan berbentuk 2D dan lukisan 3D bagi memudahkan visualisasi.

Sejak dari kecil saya amat sukakan seni dan rekaan, tidak kiralah seni lukis, seni kreatif, seni jahitan, seni fesyen, seni menggubah, dan apa sahaja yang berkaitan dengannya. Saya berpeluang belajar asas jahitan seawal usia 9 tahun dengan arwah ibu saudara. Kemudian menghadiri beberapa kelas jahitan sejak tamat alam persekolahan sehinggalah sekarang. Sudah banyak projek jahitan dan DIY yang saya hasilkan sejak kecil, termasuklah kad hari lahir untuk  ahli keluarga. Dahulu tiada internet untuk mencari idea dan rujukan, inspirasi hanya dari buku-buku dan benda yang ada di sekeliling sahaja. Setelah mempunyai ilmu formal dalam bidang seni rekaan, minat ke arah rekabentuk bangunan dan hiasan dalaman turut bercambah. 

Dengan minat yang ada dalam diri, saya melangkah membuat custom-made shawl untuk dijual dengan pakaian ready-to-wear dengan perkongsian bersama adik-adik. Alhamdulillah, syukur atas sambutan memandangkan kami masih lagi beginner. Menggunakan nama Adored Wardrobe, kami menggunakan Facebook dan Instagram sebagai medium pemasaran, insya Allah dalam sedikit masa lagi akan dikembangkan ke blog dengan pertambahan koleksi baru yang lebih segar, terutamanya untuk hari raya. Saya juga dalam proses merekabentuk dan menyediakan koleksi untuk kanak-kanak. Koleksi ini kebanyakannya adalah handmade, maka ianya sangat eksklusif dan mempunyai kelainan dari segi rekaan namun harga sangat kompetetif dan berpatutan.

Matlamat yang tidak pernah pudar dalam diri ialah ingin menjadi work-at-home-mom (WAHM). Perkataan ini sudah saya tanam dalam diri sejak mula menjejakkan kaki ke alam kerjaya. Saya ingin menguruskan perniagaan dari rumah dengan anak-anak dan keluarga di depan mata. Saya bercita-cita mendapat kebebasan, time freedom dan financial freedom, iaitu tanpa terikat dengan masa yang ditentukan oleh orang lain dan tanpa terikat dengan bebanan hutang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Saya mahu wang bekerja untuk saya, bukannya saya yang berhempas pulas bekerja untuk wang. Ya, perjalanan masih jauh namun tidak mustahil. Insya Allah diharapkan dengan cara dan laluan yang betul, dengan izin-Nya saya dapat mencapai cita-cita. Amin.


No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik