Pages

Friday, September 26, 2014

Zulhijjah tiba lagi

Hari ini sudah 26 September 2014 bersamaan 1 Zulhijjah 1435H. Lebih kurang 9 hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut ketibaan Eidul Adha iaitu pada 10 Zulhijjah 1435H. Ini bermakna lebih kurang 9 hari lagi jemaah haji para tetamu Allah akan menunaikan wukuf iaitu salah satu rukun haji yang mempunyai makna simboliknya sendiri. Wukuf bermaksud berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dan dalam sebarang keadaan. Yang afdalnya berwukuf sebahagian daripada siang hari 9 Zulhijjah dan sebahagian daripada malam10 Zulhijjah. Berakhirnya waktu wukuf pula adalah setelah terbit fajar subuh, pada 10 Zulhijjah. Pada 10 Zulhijjah juga umat Islam akan menunaikan ibadah korban. 

Bersempena bulan suci Zulhijjah ini banyaklah stesen televisyen dan radio mengalunkan alunan talbiah yang diucapkan jemaah haji tatkala mereka di Tanah Suci. Jika diamati alunan dan maksudnya, talbiah ini sangat menyentuh jiwa. Terasa diri begitu kerdil. Terasa diri bagai dipanggil. Di bawah ini saya kongsikan bait dan maksudnya.

Labbaik Allahumma Labbaik
Maksud: Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah.
Labbaika la syarika laka labbaik
Maksud: Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu.
Inna al hamda wa an ni’mata laka wa al mulka la syarika laka
Maksud: Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu.



Ya Allah jemputlah kami menjadi tetamu-Mu. Murahkanlah rezeki dan panjangkan umur kami agar kami sempat menjejakkan kaki di rumah-Mu ya Allah.

Monday, August 11, 2014

Rutin Pemeriksaan Antenatal

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi

Sepatutnya sudah lama saya berkongsi tentang pemeriksaan antenatal ini. Kandungan juga sudah menginjak ke trimester kedua. Harapnya perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada yang masih mencari hospital yang sesuai untuk pemeriksaan antenatal.

Setelah disahkan hamil melalui ujian di Klinik Kita Wangsa Maju, mulalah saya membuat research dan berbincang dengan suami tentang hospital atau klinik untuk pemeriksaan antenatal. Kriteria saya mudah saja. Saya mencari hospital yang lebih dekat dengan rumah, dan paling penting ialah pilihan doktor pakar mestilah seorang wanita. Setelah beberapa hari mengkaji dan bertanya di sana sini, kami membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan pertama di Hospital Al-Islam Kampung Baru. Alhamdulillah, jaraknya cuma lebih kurang 2km dr rumah. Bagi pilihan doktor pula, rata-rata mencadangkan Doktor Rosilawati, lalu saya terus membuat temujanji pertama dengan menelefon bahagian temujanji hospital. Alhamdulillah sekali lagi, saya dapat membuat pemeriksaan dengan Dr. Rosilawati.

Memang benarlah apa yang diberitahu kepada saya bahawa Dr. Rosilawati sangat peramah, lemah lembut, kelakar dan sentiasa tersenyum. Hati yang berdebar dan runsing pun menjadi tenang. Sementelah pula pada awal kehamilan saya mengalami sedikit pendarahan. Ketika itu hati sentiasa risau dan takut. Takut kehilangan sebenarnya. Namun nasihat, panduan dan assurance yang beliau berikan membuatkan saya lebih tenang dan bersemangat serta berserah kepada-Nya.

Syukur, pemeriksaan seterusnya menunjukkan perkembangan positif. Syukur ya Allah. Si abang pula sudah pandai melihat adiknya di skrin LCD ketika doktor membuat imbasan. Tidak henti dia berceloteh dan memberitahu 'itu kaki baby, itu mata baby'. Dr. Rosilawati pula melayankan sahaja celotehnya sambil bergurau dengan si abang. 

Terdapat beberapa perkara yang membuatkan saya berasa selesa dan tenang di hospital ini, antaranya :

- penyambut tetamu di pintu utama sentiasa tersenyum dan memberikan salam setiap kali pengunjung masuk atau keluar

- semua staf termasuklah 'cleaner' sentiasa senyum dan memberi salam.

- jururawat dan staf yang mesra.

- tempoh menunggu giliran tidak sampai 30 minit (dengan temujanji)

- jururawat membacakan doa dan menyebut nama Allah setiap kali ingin mengambil darah untuk pemeriksaan lanjut. (Saya jenis yang takut jarum. Ini kali pertama saya tidak merasa sakit ketika darah diambil)

- tidak perlu nombor giliran untuk mengambil ubat di farmasi. Kad khas akan diberikan selepas membuat bayaran dan terus mengambil ubat di kaunter. (Saya tidak pasti kelebihan ini adalah untuk semua pesakit atau untuk ibu hamil sahaja). Di sesetengah hospital swasta, jika mahu memgambil ubat kita perlu ambil nombor dulu.

- persekitaran yang bersih, cerah (pencahayaan yang cukup), dan tenang.

Bagi saya, perkara di atas sangat penting dalam memelihara emosi pesakit. Maklum sajalah, mereka yang berkunjung ke hospital mempunyai masalah kesihatan dan sudah pasti emosi turut terganggu. Perkara yang dilihat kecil bagi sesetengah orang, sebenarnya memberi impak besar kepada mereka yang memerlukan. Saya tidak terkecuali tatkala memandu sendiri dari pejabat ke hospital kerana berlaku sedikit masalah dengan kandungan dan kesihatan diri. Ketika itu hati sangatlah runsing hanya Allah yang tahu. Air mata bergenang menunggu masa tumpah ke pipi. Bayangkan, jika dengan keadaan saya ketika itu ada staf hospital yang bersikap kasar, pasti terus menangis saya dibuatnya.

Apa  pun jua kriteria ibu-ibu hamil dalam memilih hospital untuk pemeriksaan antenatal atau untuk bersalin sekalipun, saya  dengan rendah diri menyeru dan mengajak ibu-ibu dan bapa-bapa juga mementingkan batasan aurat ibu dari awal pemeriksaan sehinggalah kelahiran. 

Sekian dulu coretan kali ini. Semoga Allah lindungi dan pelihara kita dari perkara yang sia-sia. Amin

Friday, June 27, 2014

Tutorial : 'Makeover' Maxi Dress Menjadi Skirt

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Entri kali ini berkisar tentang 'makeover' pakaian lagi. Ini rentetan dari entri saya yang lepas tentang pakaian lama masih boleh diolah dan menghasilkan sesuatu yang baru. Boleh rujuk di sini jika berminat mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang saya maksudkan. 

Kali ini melibatkan sehelai 'maxi dress' yang saya beli ketika mengandungkan anak pertama kira-kira tiga tahun lepas. Rasanya tak sampai 5 kali memakainya. Kainnya amat lembut dan selesa, tidak panas, tidak jarang malah warnanya menarik pula. Apa sebab utama saya jarang memakainya? Sebab setiap kali memakainya, saya terasa seperti memakai baju tidur, malah ada juga rakan-rakan yang menegur begitu. Walhal, baju tersebut adalah untuk 'daywear', malah jenamanya juga dikenali. Mungkin potongannya tidak sesuai dengan saya, kerana baju itu sebenarnya agak besar untuk saya walaupun ketika itu saya berbadan dua. 

Ketika membuat 'spring cleaning' baru-baru ini, saya teragak-agak untuk menyedekahkan baju tersebut kerana ia mempunyai nilai tersendiri bagi saya, maklumlah dibeli ketika hamil buat kali pertama. Bagi rakan-rakan yang mengenali diri ini, ini bukanlah perkara baru. Saya memang seorang yang berjiwa sentimental, lebih-lebih lagi jika sesuatu barang tersebut mempunyai nilai kenangannya tersendiri. 

Lalu, terbitlah ilham untuk mengolah 'maxi dress' tersebut menjadi sehelai skirt. Setelah diukur, saya memerlukan beberapa inci kain untuk disambung di bahagian atas skirt, ini kerana 'dress' asal agak pendek dan tidak melepasi kaki jika dipotong. Pembaca boleh rujuk gambar di bawah bagi penerangan  yang lebih jelas.



Maxi dress yang bakal diolah menjadi sehelai skirt. Dapatkah pembaca sekalian membayangkan hasilnya?



Alatan yang diperlukan:
'Maxi dress' yang hendak diolah
Benang 
Getah pinggang lebar 1 inci 
Gunting
Pita ukur
Kapur penanda
Jarum peniti
Lain-lain alatan jahitan yang difikirkan perlu



1. Pertama sekali, ukur labuh skirt yang dikehendaki dan tandakan pada pakaian yang hendak diolah. Bagi situasi saya, saya tiada pilihan selain terpaksa memotong di bahagian ketiak baju ini kerana bahagian atas baju tidak dapat digunakan. 
















2. Potong bahagian yang tidak diperlukan. 




















3. Memandangkan labuh skirt yang dikehendaki tidak mencukupi, saya memerlukan kain sambungan untuk bahagian atas skirt nanti. Saya mengambil sehelai lagi 'maxi dress' yang jarang dipakai. Jika perlu kain sambungan, ukur dan potonglah kain sambungan yang diperlukan mengikut lebar dan panjang yang sesuai dengan skirt. 


4. Ambil kain sambungan dipotong dan pinkan pada bahagian skirt tadi. Pastikan bahagian berjahit antara kedua-dua kain bertemu. Kemudian jahitkan sekeliling bagi mencantumkan kedua-dua kain.


5. Setelah dicantumkan, skirt akan kelihatan seperti di atas. Ukur dan lipat sebanyak 1.5 inci di bahagian atas skirt bagi memuatkan getah pinggang. Jahit sekeliling kain yang dilipat dan tinggalkan bukaan sebanyak 2 -3 inci bagi memasukkan getah pinggang nanti.

6. Ukur lilitan pinggang yang dikehendaki dan potonglah getah pinggang mengikut ukuran. Biasanya saya kurangkan 1.5 inci dari ukuran asal untuk jerutan getah dan basi cantuman getah nanti. Ukuran boleh dikurangkan mengikut keselesaan pada pinggang masing-masing.




7. Masukkan getah ke dalam bahagian lipatan yang telah dijahit. Sambungkan hujung getah dan jahitkan bahagian lipatan yang terbuka tadi.


8. Kemaskan dan jahitkan bahagian getah supaya bercantum dengan kain. Ini bagi mengelakkan getah pinggang bergulung apabila dipakai dan dibasuh nanti. Semasa menjahit di bahagian tengah getah, tarik getah bersama kain supaya tegang dan kemas.



Akhirnya, sehelai skirt baru sudah terhasil dari dua helai pakaian lama. Cantik, bukan?. Semoga pembaca mendapat manfaat dan idea dari perkongsian saya ini. Saya yakin, pembaca yang kreatif sekalian sudah pasti mendapat ilham dari entri ini. Selamat mencuba!


'Nikmat' Sakit

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Bismillahirrahmanirrahim. Salam Jumaat buat pembaca sekalian. Sudah beberapa hari menyepi dari menulis dek nikmat kesihatan ditarik sebentar oleh Asy-Syaafi, Yang Maha Penyembuh. Sesungguhnya, waktu sakit itulah waktu untuk refleksi dan muhasabah diri selain berdoa agar disembuhkan penyakit yang dideritai. Ya, pada siapa lagi kita hamparkan sepenuh pengharapan selain Allah. 

"Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku
(surah SURAH ASY-SYU’ARA ayat 80)

Terdapat empat perkara yg ditarik Allah SWT ketika kita sakit :
  • rezeki (bila sakit, badan lemah dan tak upaya nak kerja)
  • Nur di wajah (wajah menjadi pucat, tampak tidak bemaya)
  • selera makan (saya pernah terbaca 'When you are sick, appetite is the first to go and the last to come back'. Ada betulnya bukan?)
  • dosa-dosa kecil
Tetapi, apabila seorang hamba telah ditetapkan waktunya untuk sembuh, Allah kembalikan tiga perkara pertama dari senarai di atas iaitu rezekinya, Nur di wajahnya dan selera makannya. 

Maha Pengasih dan Penyayang Allah tidak kembalikan kepada kita dosa-dosa kecil kita. Jika dikembalikan pasti bertimbunlah dosa-dosa hamba-Nya. Syukur Dia masih peduli dan masih menyayangi kita dengan memberikan ujian kecil bagi penghapus dosa. Semoga dosa  kita diampunkan dan doa dimakbulkan. Amin.

Friday, June 20, 2014

Adilkah kita dalam mengukur kejayaan?

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Semua orang mahu berjaya. Jika ditanya pada murid sekolah yang setahun jagung pun mereka mahu berjaya. Apatah lagi bila diajukan soalan sama pada yang sudah dewasa dan sudah kenal erti penat lelah demi sebuah kejayaan. Soalnya sekarang, bagaimana kita mengukur kejayaan? Adakah sekarang diri kita sudah dikira berjaya?Apakah definisi kejayaan yang sebenarnya?  

Setiap hari kita lihat orang berjaya mencapai sesuatu. Ada yang dianugerahkan pangkat atau darjah. Ada juga yang berjaya mengeluarkan produk tertentu. Ada yang berkereta mewah. Ada yang berjaya membeli rumah demi rumah. Ada yang semalam melancong ke Eropah, esok pula ke Timur Tengah. 

Saya mengenali seorang arkitek yang sangat berjaya. Di mata masyarakat, beliau dilihat biasa-biasa sahaja. Pakaian biasa-biasa sahaja. Kereta pula Mercedes Benz model tahun 1984. Beberapa kali pangkat Dato' ditawarkan tapi ditolak dengan baik. Tapi bagi yang betul-betul mengenali beliau pasti tahu, beliau mempunyai rangkaian bidang tanah di lokasi primer yang mencecah jutaan ringgit, termasuklah tanah di Sabah. Semasa mula bekerja dahulu, saya selalu bertanyakan pengalaman beliau sebagai orang lama. Dari ceritanya, beliau selalu meluahkan kerisauan dan geram di hati dengan orang-orang muda yang 'malu' dan 'segan' mahu menyinsing lengan untuk 'berpeluh-peluh' bekerja keras. Orang muda sekarang mahu dilihat hebat dan dipandang gah walaupun gaji cukup makan saja. Ada juga yang rajin dan berjaya tapi malangnya tersilap langkah di tengah jalan dan akhirnya tersungkur. 

Beliau menceritakan betapa susahnya untuk diterima masuk ke universiti ketika dijajah British hanya kerana beliau seorang yang berbangsa Melayu dan bukan dari golongan bangsawan. Pelbagai alasan diberi, pelbagai kursus dan peperiksaan perlu dijalani, barulah diizinkan terbang melanjutkan pelajaran ke University of Manchester. Kata beliau, orang Melayu yang bukan dari golongan bangsawan yang berjaya ke luar negara pada ketika itu mungkin kurang dari 10 orang, termasuklah Tun Mahathir kita. 

Beliau adalah salah seorang orang yang paling positif, bersemangat dan sangat optimis yang pernah saya kenal. Dalam usia awal 70-an, beliau masih memanjat 'scaffolding' ketika lawatan projek di tapak. Saya sebagai arkitek muda turut terasa malu dengan semangat dan energi positif yang beliau miliki. Beliau amat menitik beratkan soal pemakanan dan perasaan. Perlulah makan dan fikir yang baik-baik saja kerana makanan tidak sihat dan fikiran negatif katanya "boleh buat kita nampak tua".

Sedikit demi sedikit saya ubah 'mindset orang muda' yang ada dalam diri ketika itu. Kadangkala terpengaruh juga dengan definisi kejayaan yang entah dari manalah datangnya. Setiap yang bekerja seolah-olah wajib memiliki barangan cantik dan mewah bagi membuktikan kejayaan dan kemampuan kita. Ketika itu hidup sendirian, tiada komitmen dan masih mentah dalam dunia kerjaya dan pengurusan kewangan, memang mudah sangat terpengaruh. Pesan beliau lagi "Apa yang kau nak buktikan? Kau nak buktikan gaji kau tinggi dan kau mampu hidup senang?". Walaupun kata-kata itu ditujukan kepada semua staf muda di pejabat, namun bagai terkena batang hidung sendiri.

Semua orang mahu hidup selesa. Semua orang mahu menyediakan yang terbaik untuk keluarga. Tapi apa yang kita miliki bukanlah ukuran sebenar kejayaan kita. Tidak bermakna seseorang itu tidak memiliki kereta, rumah, tanah, tidak melancong setiap bulan, maka dia tidak boleh dikategorikan sebagai orang berjaya. Pernahkah  kita selami kehidupan orang berjaya? Tidak perlu kita canangkan si polan baru saja beli BMW model baru dan si polan lain pula masih memandu Proton Waja model tahun 2004. Si A sudah berjaya membeli sebuah rumah, manakala si B pula masih menyewa di tempat lama walaupun anak sudah lima. Bagi yang masih belum memiliki harta sementara ini usah pula jauh hati. Ramai yang tahu, hidup ini bukan sekadar mengejar harta yang belum dimiliki saja, namun begitu pernahkah kita berhenti mengejar?

Adilkah kita dalam mengukur kejayaan? Kita ukur sajalah kejayaan kita, adakah sejajar dengan impian dan usaha kita? Definisi kejayaan jangan disempitkan dengan ukuran material semata-mata. Setiap hari sebenarnya kita berjaya. Setiap hari ada panggilan mengajak kita menuju kejayaan. Luaskan fikiran, kita diseru mengejar kejayaan untuk bekalan dunia sementara dan dunia yang kekal nanti. Tidak adil jika kita memandang sinis pada mereka yang sudah memiliki dan belum memilikinya. Siapa kita untuk mengukur kejayaan orang? Siapa kita untuk mengukur penat lelahnya? Siapa kita untuk mengukur usaha dan ujiannya? Tepuk dada tanya selera. 






Sumber imej : Google

Wednesday, June 18, 2014

Tutorial : Menjahit seluar panjang dari kain pelikat

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi


Alhamdulillah, syukur dipanjatkan setiap hari atas rezeki dan nikmat yang Allah beri, dan syukur atas rezeki serta nikmat yang Dia tidak tarik dari kita. Maklumlah semua ini hanya pinjaman, kita sebagai hamba perlu selalu bersyukur dan memohon ampun dari-Nya.

Sedar tak sedar dah lebih seminggu saya bercuti di kampung halaman. Sempat juga membantu ibu mengemas barangan yang dihadiahkan kepada keluarga yang masih belum digunakan. Bila dikumpul-kumpul banyak juga. Saya lihat banyak kain pelikat yang dihadiahkan kepada ayah. Ini kelaziman bagi orang Kelantan jika ada keraian atau majlis tertentu, bagi lelaki diberi kain pelikat, yang perempuan diberi kain batik. Suami saya yang berasal dari Kedah, turut teruja mendapat banyak hadiah kain pelikat sewaktu kali pertama bertandang ke rumah saudara-mara saya di Kelantan selepas selesai majlis kenduri. Orang Kelantan namakan jemputan ini sebagai "Bertemu Menantu" bagi meraikan dan berkenalan dengan lebih dekat dengan menantu baru dalam keluarga. Setiap rumah saudara-mara yang dikunjungi pasti kami tidak pulang dengan tangan kosong. Hadiah paling banyak pastilah kain pasang dan kain pelikat. 

Usai membantu ibu mengemas, ibu memberi dua helai kain pelikat untuk suami. Salah satu corak kain pelikat memikat hati saya pula. Lantas saya mendapat idea untuk dijadikan seluar panjang untuk diri sendiri. 

Setelah diukur di atas kain secara melintang (iaitu lebar kain), sehelai kain pelikat dapat menghasilkan dua helai seluar panjang bagi yang berketinggian 158cm. Bagi yang lebih tinggi, disarankan mengukur mengikut panjang kain. Di bawah ini saya tunjukkan cara memotong dan menjahit seluar panjang dari kain pelikat.

Alatan yang diperlukan:
Sehelai kain pelikat
Benang 
Getah pinggang lebar 1 inci 
Sehelai seluar untuk dijadikan pola ukuran (optional)
Gunting
Pita ukur
Kapur penanda
Jarum peniti
Lain-lain alatan jahitan yang difikirkan perlu

















1. Kain diterbalikkan dan bahagian dalam kain dibentangkan di sebelah luar. Pastikan bahagian kain yang berjahit terletak di hujung kain seperti gambar di atas ini. Bahagian ini nanti akan dipotong.



























2. Saya mengambil ukuran berdasarkan seluar panjang sendiri dan ditekapkan di atas kain. Lipat kain seperti gambar di atas, iaitu bahagian kaki kain dilipat ke atas mengikut lebar seluar. Tandakan ukuran di atas kain secara melintang. Ini bagi ukuran panjang seluar yang lebih pendek dari lebar kain. Jika seluar lebih panjang dari lebar kain, perlulah menanda ukuran pada panjang kain (secara menegak)


















3. Pastikan bahagian atas seluar dilebihkan sebanyak 3 inci bagi getah pinggang. Ukuran boleh dilebihkan atau dikurangkan bergantung pada lebar getah. Kaki seluar pula dilebihkan sebanyak 1 inci. Setelah dipotong, bahagian seluar akan kelihatan seperti di atas.



4. Buka lipatan seluar dan cantumkan kedua-dua kain pada bahagian cawat seperti yang bertanda kuning di dalam gambar di atas. Pastikan bahagian luar kain mengadap antara satu sama lain, iaitu jahit di bahagian dalam kain.

5. Setelah itu, bentangkan kain membentuk seluar dan cantumkan dari bahagian kaki seluar ke bahagian kaki sebelah lagi. Maaf, bagi step ini saya terlupa mengambil gambar. Setelah dicantumkan, anda akan mendapat sehelai seluar tanpa getah.

6. Lipat sebanyak 1.5 inci pada bahagian atas seluar (iaitu bahagian pinggang) dan jahit sekeliling. Tinggalkan 2-3 inci bahagian yang terbuka bagi memasukkan getah pinggang.

7. Ukur lilitan pinggang dan potonglah getah pinggang mengikut ukuran. Biasanya saya kurangkan 1.5 inci dari ukuran asal untuk jerutan getah dan basi cantuman getah nanti. Ukuran boleh dikurangkan mengikut keselesaan pada pinggang masing-masing. 













8. Masukkan getah ke dalam bahagian lipatan yang telah dijahit. Sambungkan hujung getah dan jahitkan bahagian lipatan yang terbuka tadi.



9. Kemaskan dan jahitkan bahagian getah supaya bercantum dengan kain. Ini bagi mengelakkan getah pinggang bergulung apabila dipakai dan dibasuh nanti. 


10. Semasa menjahit di bahagian tengah getah, tarik getah bersama kain supaya tegang dan kemas.



11. Akhir sekali lipat bahagian kaki seluar sebanyak 1 inci dan jahit sekeliling.



























12. 'Seluar pelikat' yang sudah siap! Corak dan warnanya cantik. Makin cantik bila sudah siap hehe.

Selamat mencuba!



Saturday, June 14, 2014

Tentang kebesaran-Nya dan kekerdilan kita

Teks : Nik Nurul Hana binti Hanafi



Semasa membantu memasak di dapur pada tengahari semalam, saya sempat berbual-bual dengan pembantu rumah ibu yang berasal dari Indonesia. Dia begitu teruja melihat adik-adik saya mencuba niqab yang baru dijahit dan secara seloroh bertutur dalam bahasa Arab. Adik-adik saya yang dua orang itu memang belajar bahasa Arab di universiti lalu ketawa berderai. Pembantu rumah kami yang dipanggil 'Neng' itu pernah bekerja di Arab Saudi sebagai pembantu rumah, mungkin hampir 10 tahun juga jadi tak hairanlah dia boleh tertutur bahasa Arab walaupun lenggoknya lain dengan bahasa Arab komunikasi yang dipelajari di universiti.

Sedang dia memotong sayuran, dia mengadu kakinya sakit dan berkata dia sudah tua serta bergantung dengan ubat saja jika sakitnya datang. Dari wajahnya saya mengagak umurnya belum sampai 40-an tetapi dia sendiri tidak tahu umurnya berapa tahun. "Saya tidak pernah ke sekolah, tidak tahu membaca dan menulis. Umur pun tidak tahu" katanya sambil ketawa. Saya turut ketawa, bukan bermaksud memperkecilkannya. Cuma ingin membuat dia selesa supaya terus bercerita.

"Tapi syukur ketika saya kerja di Saudi dulu, saya berdoa di depan Kaabah mohon Allah izinkan saya membaca. Saya menangis dan berdoa. Syukur saya belajar dan boleh membaca surah Yaasin. Dahulu saya tidak bisa baca. Saya juga tidak bisa tulis. Tapi saya bisa sms, tekan saja huruf di telefon. Saya syukur sekarang saya sudah bisa baca surah. Allah makbulkan doa saya". cerita Neng panjang lebar

Terdiam dan terkesima saya mendengar ceritanya. Sungguh, bantuan dan pertolongan Allah tiada hadnya bagi hamba yang benar-benar mengharapkan kurniaan dari-Nya. Terasa diri ini sangat kerdil. Saya masih muda jika dibandingkan dengan Neng. Peluang pendidikan, pekerjaan dan cara hidup saya jauh lebih baik daripadanya. Tetapi saya masih belum berpeluang menangis dan berdoa di hadapan rumah Allah walaupun saya tahu Allah mendengar doa hamba-Nya walau di mana kita. Begitupun, terasa saya tidak sungguh-sungguh memohon sesuatu daripada Allah. Begitu payah Neng ingin mendapatkan ilmu, saya yang dapatkannya dengan mudah pula tidak memanfaatkan sepenuhnya. Allahuakbar. Hinanya diri ini. 

Menangis dan berdoalah kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati. Dia pasti mendengar. Dia yang Maha Mendengar. Setelah itu berusahalah juga dengan bersungguh-sungguh. Tiada istilah 'sudah terlambat' atau 'sudah tua' atau 'sudah tidak larat' atau 'sudah tidak ada harapan'. Alasan memang mudah dicipta. Lihat saja kisah Neng, dari yang tidak tahu membaca kini sudah boleh membaca surah walaupun pada usia yang sudah lanjut. Neng tidak melalui alam persekolahan seperti kita atau anak-anak kita. Tidak juga menghadiri mana-mana kursus motivasi. Tapi motivasi dalam dirinya begitu kuat. Saya doakan kita dikurniakan motivasi yang kuat untuk memperbaiki diri dan seterusnya memperbaiki kualiti hidup kita dan keluarga serta segelintir masyarakat yang tidak mahu bersusah-payah berubah kepada yang lebih baik. Moga kita istiqamah juga. Amin. 

 
Images by Freepik